PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui kesebelasan berkenaan wajar dikritik setelah tewas mengejut 1-2 kepada kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) Sheffield United di Old Trafford, pada awal pagi Khamis.
Menurut Solskjaer, kritikan berkenaan dilihat wajar berikutan aksi hambar yang dipamerkan kesebelasan The Red Devils itu di sepanjang perlawanan ketika berdepan kunjungan The Blades.
"Bagi saya, keseluruhan pasukan ini akan dikritik termasuk juga diri saya. Ia (kritikan) memang wajar kerana kami tidak menyerlah pada perlawanan berkenaan.
"Kami banyak melakukan kesilapan, kami gagal melakukan hantaran yang berkualiti, tiada tempo dalam permainan kami dan kami juga gagal memanfaatkan peluang yang ada.
"Walaupun kita telah beraksi baik sebelum ini, kali ini ternyata kita gagal mengulanginya kali ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pelawat membuka jaringan menerusi Kean Bryan pada minit ke-23, namun Harry Maguire berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Bagaimanapun, Oliver Burke menambah gol kedua yang juga gol kemenangan buat The Blades pada minit ke-74.
Kekalahan menyaksikan United berada pada kedudukan kedua liga dengan 40 mata manakala Sheffield United kekal pada tangga tercorot EPL dengan lapan mata.
Sementara itu, Mengulas mengenai aksi penyerang, Anthony Martial pada perlawanan berkenaan Solskjaer berkata, dia tetap menaruh kepercayaan kepada penyerang Perancis itu untuk diturunkan pada perlawanan-perlawanan akan datang.
Katanya, biarpun tidak menolak kemungkinan bahawa Martial juga menjadi sasaran kritikan, namun Solskjaer menyatakan dia tidak memiliki keraguan terhadap penyerang berusia 26 tahun itu untuk kembali ‘menyerlah.’
"Saya tidak ragu dia (Martial) dia akan kembali ‘menyerlah.’ Lagi pun, dia telah bekerja keras ketika latihan terutamanya dari segi sentuhan penyudah dan juga pergerakannya,” katanya.