BALING - Menyebut Gua Air, ia agak asing di halwa telinga kita.
Mana tidaknya, terletak di Kampung Teluk Tok Patah, gua ini antara yang masih terpelihara.
Uniknya Gua Air mempunyai aliran air sepanjang lebih 300 dan inilah keunikan yang mula menjadi tumpuan ramai selepas kewujudannya disedari.
Bagi Setiausaha Penduduk Kampung Dalam Wang, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, orang ramai mula menerokai gua itu bermula awal bulan ini.
Menurutnya, kewujudan gua berkenaan sebelum ini hanya diketahui penduduk kampung.
"Selama ini tidak ramai orang dari luar tahu adanya sebuah gua begitu indah dalam sebuah daerah pedalaman.
"Tetapi menyedari keindahan dan keunikan pada gua itu, kami mula promosi melalui media sosial dan impaknya ramai yang tertarik," katanya kepada Sinar Harian selepas demontrasi selamatkan Gunung Pulai, semalam.
Mohd Zaid berkata, terbaharu kumpulan jurugambar profesional dan doktor dari Universiti Malaya turut mengunjungi gua ini.
"Bagaikan terpesona dengan keindahan yang ada pada gua itu, sebahagian daripada ahli kumpulan itu masuk hingga tiga kali ketika berkunjung minggu ini.
"Bagi mereka, gua itu sangat unik berbanding gua-gua lain pernah diterokai," katanya.
Gua Air mungkin boleh dikatakan antara tercantik di Asia kerana andskapnya yang berbeza dengan kebanyakan gua lain.
Aliran air yang berada di tengah-tengah laluan sangat unik, ditambah dengan kejernihan airnya.
"Paras air hanya atas pada buku lali orang dewasa dan airnya sejuk.
"Sambil menyusur ke dalam gua, boleh lihat udang dan ikan dek kerana airnya yang jernih," ceritanya.
Barangkali, tidak banyak gua yang mempunyai lanskap indah seperti itu, Mohd Zaidi berkata, aliran air bermula dari pintu gua hingga ke bahagian hujung gua.
Biarpun, tidak ada yang tahu punca sebenar air namun dipercayai ia bersambung dari kawasan Gua Sireh yang terletak di Kampung Dalam Wang.
"Gua Sireh dan Gua Air terletak di kawasan bukit yang sama dan hanya dipisahkan oleh batu-batu kapur sahaja.
"Di hujung Gua Air kita dapati ia ditutupi dengan batu. Di celah batu itulah mengalirnya air tersebut," katanya.
Katanya, pengunjung pastinya akan tertarik dengan formasi batu, staligtit dan stalagmit yang terdapat di situ.
"Ada batu-batu bila disuluh akan berkilau-kilau dan bercahaya, malah terdapat kawasan dinding gua yang beralun seperti awan.
"Di dinding juga terdapat air dan tanah yang membentuk tompokan-tompokan menarik seperti tahi bintang," katanya.
Tambahnya, landskap gua masih asli dan semulajadi dengan ia berpontensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan terkenal.
"Di luar gua juga kita dapat merasai suasana kampung begitu nyaman berlatar belakangkan bahagian belakang Gunung Pulai.
"Kita harap kerajaan Kedah ambil tumpuan serius untuk majukan Baling sebagai destinasi pelancongan, ujarnya.