KEMENANGAN 2-1 Sheffield United ke atas Manchester United secara keseluruhannya adalah hasil kerja keras pemain yang turut bijak memanfaatkan peluang.
Perkara itu ditegaskan pengendali The Blades, Chris Wilder yang menyifatkan kesebelasan pemainnya telah mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.
Malah katanya, biarpun hanya berjaya mencipta beberapa percubaan ke arah pintu gol United, namun ia berjaya dimanfaatkan menjadi jaringan yang akhirnya memberikan kemenangan buat pasukan.
"Secara keseluruhannya saingan EPL ini saya sifatkan sebagai saingan yang agak ‘brutal’ dan ia menuntut setiap pasukan untuk berada pada tahap terbaik di setiap minggu, walau ia ternyata sukar untuk dilakukan.
"Bagaimanapun, kali ini, kami telah beraksi dengan baik. Kami mengawal bola, mencipta peluang gol dan apabila detik sedemikian dimanfaatkan ia menghasilkan keputusan yang baik buat kami.
"Apa pun, kemenangan ini adalah sesuatu yang hebat kerana kita berjaya menewaskan mereka pada hari di mana mereka berada jauh ‘di atas’ manakala kita berada jauh ‘di bawah.’ Ini menjadikannya lebih istimewa,” katanya.
Sementara itu Burke berkata, kemenangan berkenaan adalah sesuatu yang cukup luar biasa dalam sejarah kelab berkenaan.
Katanya, kemenangan yang terhasil daripada kerja keras semua pemain itu akan turut dijadikan sejarah gemilang dalam pencapaian kelab berkenaan.
"Ia satu keputusan yang luar biasa, kredit kepada semua pemain yang bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini.
"Untuk saya sendiri, ia satu perasaan yagn menakjubkan untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan dan diharapkan ia akan berterusan selepas ini,” katanya.”