Bantu usung pedati, hanya polis kaum India terlibat

Iklan
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan petugas polis membantu pergerakan pedati di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu.

KUALA LUMPUR - Hanya anggota polis daripada kalangan kaum India terlibat dalam membantu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata demikian susulan tular dakwaan berbaur perkauman mendakwa anggota yang terlibat adalah terdiri daripada kaum lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia selepas satu video bantuan penugasan anggota polis sewaktu kawalan pergerakan membawa pedati sempena sambutan Thaipusam tular di media sosial.

"Hasil semakan mendapati video tersebut dirakam sewaktu pihak polis membantu mempercepatkan pergerakan arca setelah diminta oleh pihak penganjur kerana hanya 10 orang yang dibenarkan terlibat dalam pergerakan tersebut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Iklan

"Video yang dirakam kira-kira jam 3 pagi pada 27 Januari 2021 (Rabu) di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee itu memaparkan petugas polis membantu pergerakan arca dan kesemua pegawai serta anggota yang terlibat adalah berbangsa India," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Iklan

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves itu dibenarkan namun hanya akan melibatkan 10 peserta tanpa penyertaan orang awam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 10 orang yang dibenarkan itu juga ditetapkan perlu berada di dalam kenderaan yang menarik pedati itu, untuk sepanjang perjalanan.