MUAR - Mahkamah Tinggi Muar hari ini membenarkan permohonan seorang Tok Batin dari Kampung Air Tawas, Sagil, Tangkak untuk membatalkan saman pemula yang difailkan terhadap dua defendan iaitu Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan untuk membatalkan saman pemula dengan kebebasan memfailkan semula ketika dalam kamar selepas mengambil kira keterangan pihak plaintif, Mengek Achai, 57.
Dalam masa sama, defendan yang turut diwakili Jabatan Peguam Negara tidak membantah penarikan saman pemula selain tiada perintah kos dikeluarkan dan tidak akan membuat tuntutan kos berkaitan saman pemula ini.
Peguamcara, Hassan Abdul Karim yang mewakili plaintif berkata, saman pemula bertarikh 22 November 2017 itu dibatalkan selepas menteri berkaitan mengesahkan tidak pernah membenarkan pemecatan Mengek sebagai Tok Batin.
Menurut Hassan, platintif membuat saman pemula itu pada tahun lalu bagi pengesahan berhubung pemecatan jawatannya sebagai Tok Batin sama ada berasaskan undang-undang adat dan amalan masyarakat Temuan di Kampung Orang Asli Air Tawas atau sebaliknya.
Bagaimanapun, menteri yang dinamakan sebagai defendan kedua mengakui tidak pernah mengeluarkan surat pemecatan itu kepada Mengek sekali gus mengesahkan jawatan itu masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.
"Plaintif sebelum ini menerima surat pemecatan sebagai Tok Batin daripada JAKOA selain elaun bulanan atas khidmatnya dalam ketua masyarakat juga dihentikan selama empat bulan.
"Oleh itu, menjadi tanda tanya mengenai status beliau sebelum memutuskan untuk perkara ini dibawa kepada undang-undang. Bagaimanapun, defendan yang diwakili Jabatan Peguam Negara mengakui surat pemecatan yang sah perlu mendapatkan tandatangan menteri berkaitan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Muar, sebentar tadi.
Hassan berkata, atas alasan itu, maka surat pemecatan dikeluarkan oleh JAKOA tahun lalu dianggap tidak sah sekali gus mengesahkan Mengek masih kekal sebagai Tok Batin di situ.
Dalam pada itu, Mengek ketika ditemui berkata, beliau tidak menerima elaun khas sebagai tok batin selama empat bulan setelah memfailkan writ saman terhadap Zila Maju Enterprise, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, kerajaan negeri dan Kerajaan Malaysia pada 10 Januari 2017 kerana tidak berpuas hati dengan kerja-kerja membina pagar keselamatan dan parit di kawasan berkenaan.