KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang sedang menjalani kuarantin di rumah di sini meninggal dunia pada Rabu akibat jangkitan Covid-19.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 8.29 malam.
"Arwah sebelum ini telah disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 pertama pada 22 Januari kerana mengalami demam.
"Ujian saringan kedua pada keesokan harinya turut disahkan positif," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Shamsul Amar berkata, Allahyarham berusia 53 tahun telah menjalani kuarantin di rumahnya di Klang bermula pada 22 Januari hingga 1 Februari, namun beliau disahkan meninggal dunia pada Rabu.
Katanya, sebab kematian yang disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr Tian Pei Xuan adalah kerana Covid-19.
"Prosedur pengurusan jenazah telah dilakukan di HTAR dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh, Klang pada jam 5.45 petang, Khamis.
"Allahyarham bertugas sebagai Sarjan Pengawal Pengiring, Cawangan Pengawal Pengiring IPD Klang Selatan meninggalkan isteri dan lima orang anak," katanya.