SECARA fitrahnya, manusia memerlukan pasangan dan hidup berkeluarga serta mempunyai anak-anak. Kerjasama antara dua insan yang bergelar suami isteri akan mengukuhkan ikatan perkahwinan dan kasih sayang yang menjadi matlamat hidup bersama.
Semuanya nampak indah dan bahagia, namun sejauh mana impian perkahwinan itu dapat direalisasikan di saat masih terdapat golongan yang sedang menunggu jodoh tak kunjung tiba.
Golongan itu terutama wanita sering dituduh terlalu memilih atau utamakan kerjaya sehingga mengabaikan sunnah Nabi Muhammad SAW yang satu itu.
Benarkah begitu sedangkan dalam hati setiap insan ada rasa ingin disayangi, dicintai dan mahu memiliki keluarga bahagia.
Secara peribadi, penulis sendiri tergolong dalam golongan yang belum sampai seru untuk berkahwin walaupun usia sudah pun genap 30 tahun. Ayat-ayat menjengkelkan sudah lali di telinga.
Bagi penulis, perkahwinan bukan satu perlumbaan. Kita tidak berada dalam pertandingan siapa di hadapan dialah pemenangnya. Urusan jodoh, ajal dan maut bukan di tangan kita. Kenapa pula kita terlampau risau dan takut seolah-olah berdosanya seorang hamba ALLAH yang masih belum berkahwin.
Persekitaran sebegitu akan menyebabkan golongan seperti kami terasa jauh hati dan akan menjauhkan diri daripada kelompok rakan yang sudah berumah tangga.
Penulis tidak pernah mendapat desakan daripada keluarga kerana masing-masing memahami tanggungjawab yang perlu digalas oleh penulis sebagai ketua keluarga.
Namun, ada juga rakan-rakan yang ‘sekapal’ dengan penulis diasak soalan sama oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa.
Tradisi
Mungkin kerana masyarakat Melayu sudah terbiasa anak dara berkahwin awal. Justeru, pegangan itu terbawa-bawa sehingga hari ini. Malah kami dianggap seperti melanggar tradisi keluarga apabila lambat berkahwin.
Kadangkala desakan daripada keluarga lebih meninggalkan kesan mendalam kerana mereka tersepit antara hasrat ibu bapa dan jodoh yang masih belum kunjung tiba. Apalah daya kami.
Walaupun mempunyai pilihan hati tetapi selagi pihak lelaki tidak datang melamar dan memulakan langkah ke arah perkahwinan, kami hanya mampu menanti.
Mungkin juga pihak lelaki sedang berhempas pulas membuat persediaan untuk membina sebuah perkahwinan kerana sedar tanggungjawab yang sangat besar. Dalam dunia yang mencabar dan ekonomi yang tidak menentu, kewangan adalah kekangan yang paling besar bagi seorang lelaki.
Ia diakui sendiri oleh beberapa rakan penulis yang berasakan mereka belum cukup stabil untuk membina sebuah keluarga baharu kerana pada masa yang sama masih menggalas tanggungjawab terhadap ibu bapa dan adik-beradik.
Mungkin kita selalu mendengar rezeki itu akan datang selepas berkahwin tetapi sebagai insan yang sentiasa menjadi pelindung kepada wanita terutama isteri dan anak-anak, mereka tidak berpegang pada kata-kata itu semata-mata.
Bagi mereka, persediaan harus dilakukan sebelum berkahwin supaya anak-anak dan isteri hidup selesa dan tidak perlu melalui kesusahan yang sudah mereka lalui.
Kata rakan penulis lagi, bukannya dia tiada calon tetapi masanya masih belum tiba dan dia sedang berusaha melengkapkan dirinya dengan semua aspek termasuk kewangan, mental dan fizikal untuk bergelar suami.
"Kahwin bukan untuk setahun dua sahaja. Kita tidak mahu berlumba siapa cepat kahwin tetapi akhirnya membawa kepada perceraian pula,” katanya kepada penulis.
Kepada masyarakat, jangan memandang serong kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang masih belum bertemu jodoh. Kita tidak berada di tempat mereka.
Sepatutnya dalam situasi begitu, ucapkanlah kata-kata yang baik sahaja. Doakan semoga mereka cepat bertemu jodoh dengan insan yang baik budi pekerti.
Jangan ditanya sesuatu yang mengguris perasaan sahabat kita. Jika tiada kata-kata yang baik untuk diucapkan, lebih baik berdiam diri sahaja kerana sesungguhnya jodoh itu adalah aturan ALLAH SWT.
* Roshila Murni Rosli ialah wartawan Sinar Harian Edisi Utara