Beri bantuan aliran tunai kepada pengusaha kedai gunting rambut

Iklan
Mahas menyarankan kerajaan agar memberi jaminan kemudahan pinjaman aliran tunai kepada pengusaha-pengusaha salon dan kedai gunting rambut.

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas) menyarankan kerajaan agar memberi jaminan kemudahan pinjaman overdraft atau aliran tunai perniagaan kepada pengusaha-pengusaha salon dan kedai gunting rambut.

Ia bagi membantu mereka berdepan cabaran Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 apabila perkhidmatan salon dan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi.

Iklan
Iklan

Pengerusinya, A K Selvan berkata, tawaran pinjaman bertempoh dibuat melalui institusi perbankan itu perlu mencukupi bagi mereka membayar kos operasi perniagaan yang terjejas.

"Dengan hormatnya kami ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk menolong kami melalui institusi kewangan dengan menawarkan 'term loan' atau kemudahan 'overdraft'.

Iklan

"Sekiranya kerajaan dapat menjamin kemudahan ini, saya pasti pengusaha salon tidak akan mendesak kerajaan dan mungkin tidak ada lagi pengusaha yang akan gulung tikar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesej terbuka ditujukan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui satu video yang dimuat naik di YouTube.

Iklan

Antara lain, beliau turut menekankan keperluan untuk premis menawarkan khidmat gunting rambut dibenarkan beroperasi.

"Kami juga tidak ingin dijangkiti virus Covid-19 atau memulakan jangkitan kluster salon rambut. Tetapi masalah kewangan kami juga 'at the breaking point' sekarang.

"Pengusaha salon rambut mempunyai perbelanjaan tetap seperti sewa premis, bayaran utiliti, bayaran kereta, pinjaman rumah, bayaran kad kredit dan kos untuk menyara keluarga serta diri sendiri," katanya.

Dalam video tersebut, turut dipersoalkan adalah tindakan kerajaan yang disifatkan gagal memberi perhatian terhadap ekonomi pengusaha kecil seperti mereka.

Katanya, sejak Jun 2020 sehingga Januari tahun ini, tiada kes penularan kes Covid-19 di premis perniagaan salon dan gunting rambut dilaporkan berbanding dengan sektor perkilangan dan dan sektor pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

"Malaysia mempunyai hampir 32 juta penduduk pada masa kini. Sekiranya setiap penduduk pergi ke salon rambut setiap dua bulan sekali, mulai Jun tahun lepas sehingga Januari tahun ini, hampir 100 juta penduduk telah mendapatkan perkhidmatan salon atau gunting rambut rambut di premis kami.

"Apakah ini tidak membuktikan perniagaan salon rambut adalah antara sektor yang paling selamat? Kami percaya ini adalah kerana pengusaha salon rambut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan serius," katanya.