SHAH ALAM - Kerajaan disaran merangka polisi antirasuah yang jelas supaya masyarakat faham dengan tindakan dan peraturan yang digubal.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kandungan polisi berkenaan perlu jelas dan tidak samar-samar bagi mengelakkan orang ramai membuat interpretasi yang salah.
"Apa-apa peraturan yang dibuat mesti jelas, orang ramai wajar tahu. Kalau tindakan ini diambil begini, apa tindakan selanjutnya yang dibuat supaya orang ramai tahu.
"Jelas di sini maknanya kalau kita buat sesuatu peraturan, orang awam kena tahu. Kalau peraturan, dia perlu patuh.
"Kalau dia tidak patuh pada peraturan ini, apakah tindakan yang akan diambil terhadapnya.
"Kalau kena saman, saman. Kalau dia kena diambil tindakan, ambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kerajaan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.
Terdahulu, kedudukan Malaysia dalam CPI dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.
Sementara itu, Musa berkata, dalam usaha untuk menurunkan kadar jenayah rasuah, organisasi daripada sektor awam dan swasta perlu terlibat sama.
"Ini perlu dibuat oleh organisasi itu sendiri.
"Contohnya kalau (organisasi) polis, ia sendiri perlu menentukan bahawa usaha mencegah anggota daripada terlibat rasuah dilakukan. Begitu juga dengan pihak swasta.
"Setiap organisasi kena buat begitu supaya orang bawahan faham yang mereka tidak boleh terlibat dengan rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berpendapat badan-badan berkuasa kerajaan mesti telus dalam melakukan penyiasatan dan laporan berkaitan kegiatan rasuah.
Beliau berkata, kerajaan harus menyemak semua prosedur yang melibatkan tender tertutup dan terbuka.
Beliau berkata, terdapat laporan yang menimbulkan banyak persoalan dan kes-kes yang tiada jawapan.
"Jadi kerajaan kena buat laporan telus kepada masyarakat. Masyarakat nak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
"Kemudian semak semula semua prosedur yang melibatkan kewangan, permohonan, red tape dan sebagainya.
"Ini kerana apabila satu permohonan itu hendak dibuat, terlampau banyak red tape, itu yang menyebabkan rasuah berlaku,” jelasnya.