PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menegaskan skuad kendaliannya itu tidak boleh lagi keciciran sebarang mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) jika mahu merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Mourinho berkata, kekalahan 1-3 kepada Liverpool pada awal pagi Jumaat telah menyebabkan skuad kendaliannya itu kini berada pada kedudukan keenam liga.
Justeru menurutnya, kesebelasan The Lilywhites itu perlu bangkit pada aksi berdepan Brighton di gelanggang lawan awal pagi Isnin nanti dalam usaha meraih tiga mata berharga.
"Saya mahu pemain memberikan fokus kepada perlawanan ini kerana kita sudah tidak mampu lagi untuk keciciran mata.
"Kita ketinggalan empat mata kepada Liverpool yang kini berada pada kedudukan keempat EPL.
"Tambah memburukkan lagi keadaan, kita juga bakal kehilangan khidmat penyerang utama, Harry Kane untuk beberapa minggu yang akan datang kerana mengalami kecederaan buku lali,” katanya.
Mengulas aksi berdepan Liverpool, Mourinho berkata, perlawanan berkenaan seharusnya dimenangi oleh Tottenham Hotspur.
Namun katanya, skuad The Lilywhites itu dilihat banyak melakukan kesilapan dan kesempatan itu kemudiannya dimanfaatkan kesebelasan The Reds untuk menjaringkan gol.
"Kita telah bermula dengan baik, namun sebelum kami menjaringkan gol, kami terlebih dahulu dikejutkan dengan gol ‘ofsaid’ lawan.
"Selepas itu, pertahanan kami pula melakukan kesilapan hingga pelawat berjaya menjaringkan gol ketiga.
"Secara keseluruhannya, perlawanan ini menyaksikan sebuah pasukan (Spurs) yang beraksi untuk menentang kesilapan yang dilakukan sendiri,” katanya.