Suasana sayu selubungi ahli keluarga

Iklan
Hiba, Masitah (dua, kiri) berpelukan dengan ahli keluarga yang hadir ke Bilik Forensik HSNZ pagi tadi.

KUALA TERENGGANU - Suasana sedih menyelubungi di perkarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pagi ini sebaik jenazah Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, tiba.

Lebih 150 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat mangsa berada di bilik mayat selepas jasad beliau ditemui jam 7.23 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Suasana bertambah hiba apabila Nordiana Alwani Jaafar, 33, mangsa yang berjaya diselamatkan Abdul Bari Ashraf turut hadir memohon maaf kepada ibu bapa arwah hingga masing-masing menitiskan air mata.

Jenazah Abdul Bari Asyraf digelar sebagai wira negara kerana keberaniannya terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa hingga mengorbankan nyawanya sendiri tiba di Bilik Forensik HSNZ kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Iklan

Beberapa ahli keluarga mangsa dilihat tidak mampu menahan sebak dan menangis selepas menatap wajah terakhir mangsa.

Selain ahli keluarga dan sahabat handai mangsa, Adun Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah turut berada di sana.

Iklan

Sebaik urusan selesai, jenazah Abdul Bari Asyraf dibawa keluar dari bilik mayat pada jam 10.50 pagi menaiki van jenazah menuju ke Masjid Kampung Merbau Patah untuk disembahyangkan di sana.

Allahyarham dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Patah selepas solat Zohor nanti.

Mayat Abdul Bari Ashraf ditemui di muka Kuala Tanjung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.

Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf yang dikatakan mengalami kejangan otot menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.