SHAH ALAM - Institusi pengajian tinggi (IPT) seharusnya semakin bersedia, manakala sistem teknologi pengajaran perlu ditambah baik seiring keperluan semasa.
Profesor Madya Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali daripada Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, dengan menitik beratkan perkara itu, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) wajar diteruskan secara dalam talian dengan menggunakan teknologi yang telah dibangunkan.
"Sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi PdP dalam talian terutama untuk kegunaan pada masa akan datang. Setiap individu harus menerima perubahan dan inovasi ini demi kepentingan bersama.
"Misalnya, universiti awam harus meningkatkan kualiti sistem penyampaian pendidikan melalui Massive Online Open Courses (MOOC) dengan menawarkan pelbagai jenis subjek,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, MOOC ialah kursus dalam talian dengan tajuk yang trending dan terkini untuk menarik perhatian penuntut.
"Pensyarah boleh memilih membangunkan MOOC, masing-masing sama ada daripada kursus umum, kursus tujahan atau kursus kemahiran bersifat pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan profesional.
"Format pengendalian kursus adalah dalam bentuk video asli berdurasi lima minit sebagai topik disertai dengan kandungan multimedia interaktif untuk mengukuhkan pemahaman penuntut,” katanya.
Bagi menambah lagi pengetahuan penuntut, beliau berkata, pembangunan MOOC perlu membekalkan mereka dengan bahan rujukan tambahan seperti video, artikel jurnal dalam bentuk pdf dan sebagainya.
Selain itu, katanya, universiti juga disarankan supaya membina sendiri aplikasi dan platform bagi memberi lebih kefahaman kepada penuntut, selain meningkatkan lagi kualiti capaian internet.
Akmar Hayati berkata, pihak IPT dan pensyarah juga perlu diberi peluang meningkatkan kualiti PdP berbanding sebelum ini agar kerisauan penuntut terhadap impak yang timbul daripada PdP dalam talian dapat ditambah baik.
Menurutnya, hasil penyelidi-kan yang beliau lakukan mengenai fokus penerimaan penuntut terhadap teknologi menunjukkan bahawa rata-rata mereka cenderung memilih PdP secara bersemuka kerana memberi lebih kefahaman terhadap subjek yang dipelajari.
"Terdapat juga penuntut yang menyuarakan kebimbangan sekiranya PdP diteruskan secara dalam talian akan menyebabkan mereka hilang fokus, kurang bermotivasi untuk belajar dan kurang daya tumpuan. Ia sudah pasti menjejaskan kualiti akademik penuntut.
"Bagaimanapun, masih terdapat segelintir penuntut yang bersetuju PdP diteruskan secara dalam talian kerana IPT harus mengutamakan aspek keselama-tan dan kesihatan penuntut.
"Kelonggaran perlu diberikan kepada penuntut tahun akhir untuk berada di kampus dan dibenarkan menggunakan kemudahan tertentu seperti mengunjungi perpustakaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyiapkan projek ilmiah tahun akhir,” katanya.
Pada masa yang sama, Akmar Hayati turut menekankan supaya ibu bapa tidak mudah percaya dengan dakwaan yang tidak berasas mengenai keburukan PdP dalam talian kerana kualiti program yang ditawarkan di universiti terus kekal relevan.
Menurutnya, pensyarah masih menjalankan PdP mengikut rancangan pengajaran yang telah diluluskan oleh pihak pengurusan universiti, namun yang membezakan hanyalah kaedah pelaksanaan kuliah dan aktiviti yang dijalankan bergantung pada kreativiti masing-masing.
"Tambahan pula program yang ditawarkan itu akan melalui proses semakan kurikulum.
"Bahkan, sesi pembelajaran akan menjadi bertambah baik dengan kaedah hibrid yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk semester akan datang,” katanya.
Menurutnya, pelbagai inisiatif juga telah diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan IPT untuk meningkatkan PdP secara dalam talian, antaranya inisiatif Pakej Pelan Data dan Peranti yang diberikan kepada penuntut IPT daripada golongan B40, khususnya bagi membantu mereka melanggan pelan data untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik.
"Kementerian dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk melaksanakan bantuan ini bagi memberikan persekitaran pembelajaran kondusif serta seimbang,” katanya.