JOHOR BAHRU - Yayasan Petronas dan Wilayah Selatan Petronas memberikan sumbangan kepada 1,600 orang mangsa banjir di Johor menerusi program Sentuhan Kasih Disaster Relief.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah berkata, pihaknya menyumbangkan barangan keperluan asas dan membaik pulih kemudahan bernilai RM35,000 di pra sekolah dan balai raya di Kampung Laut serta Kampung Sepakat Baru di sini.
"Pihak Wilayah Selatan Petronas menyumbangkan perabot dan alat bantu belajar termasuk kerusi plastik, meja dan papan putih ke rumah Ketua Kampung Sepakat Baru untuk diagihkan.
"Kerusi dan meja untuk kanak-kanak, meja guru dengan laci, papan putih dan peti sejuk pula dihantar ke Balai Raya Kampung Laut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya turut menyumbangkan tong gas petroleum cecair (LPG) dan isian semuka kepada penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.
Sementara itu, Ketua Wilayah Selatan Petronas, Sazli Zakaria berkata, pihaknya bekerjasama dengan Penghulu Mukim Tebrau, Hairul Hamid membantu penduduk yang terjejas selain mengenal pasti kemudahan yang perlu dibaik pulih.
"Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban. Banyak keluarga B40 masih menghadapi cabaran membaik pulih rumah dan menggantikan barang yang hilang dihanyutkan banjir," katanya.
Dalam pada itu, Yayasan Petronas sedang bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti keperluan mangsa banjir di negeri lain.
Sementara itu, pada awal Januari lalu, Petronas Refinery and Petrochemical Corporation dengan bantuan Pejabat Penghulu Mukim Pengerang dan Pantai Timur menyumbang termometer berdiri, kit kebersihan diri, topeng muka, pembersih tangan dan barang makanan bernilai RM10,000.
Sumbangan itu disalurkan kepada 77 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pengerang.
Petronas Dagangan Berhad pula menyumbang 236 karton air mineral untuk PPS yang menempatkan mangsa banjir Kampung Laut dan Kampung Sepakat Baru.