BANDUNG - Sekurang-kurangnya lima keluarga terpaksa mengusung sendiri jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Tanah Perkuburan Umum (TPU) di Cikadut, Bandung Indonesia.
Tindakan ini dilakukan sejak Rabu berikutan sukarelawan mogok menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut di hospital dan mereka perlu menguruskan pengebumian termasuk membawa keranda ke TPU sendiri, lapor Tribunnews.
Seorang ahli keluarga mangsa Covid-19 yang dikenali sebagai, Andre, 40, dari Jalan Mohammad Toha, bandar Bandung, terpaksa mengebumikan saudaranya bersama beberapa ahli keluarga lain.
"Setiba di hospital, tiada pasukan sukarelawan untuk menguruskan jenazah, kami bingung.
"Akhirnya saya bersama tujuh saudara mengusung sendiri jenazah sejauh 300 meter dalam keadaan gelap kerana saudara meninggal jam 8 malam.
"Kami juga menggunakan baju hujan menggantikan peralatan pelindungan diri (PPE) namun ada juga ahli keluarga lain tidak memakainya," katanya.
Ujarnya walaupun telah menghubungi pihak sukarelawan untuk membantu namun mereka tidak melayan permintaan ahli keluarga.
"Saya lihat beberapa jenazah telah berada di hospital selama berjam-jam kerana sukarelawan mogok.
"Akibatnya, ahli keluarga menguruskan pengebumian tanpa mengikut SOP. Keluarga juga terpaksa membayar sejumlah wang untuk urusan pengebumian dan pengangkutan," katanya.