Maggi komited menganjurkan program tanggungjawab sosial korporatnya dengan menganjurkan kempen Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai pada Januari dan Februari untuk membantu 11 rumah penjagaan warga emas.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, kempen itu diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi mengumpul dana dan disalurkan untuk memenuhi kebajikan rumah jagaan warga emas.
Menurutnya, antara penerima sumbangan dalam kempen itu ialah En Yuan Old Folks Home, Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai, Perkampungan Rumah Sejahtera Warga Emas Islam, Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah dan Persatuan Rumah Caring Kajang.
"Dana yang terkumpul akan digunakan untuk membantu menaik taraf dan membaiki kemudahan tempat tinggal warga emas, meningkatkan kebajikan mereka dengan menyediakan katil, perabot dan barangan isi rumah. Mereka juga akan menerima bekalan makanan bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kempen itu bertujuan menyalurkan dana bagi menaik taraf kemudahan di rumah-rumah jagaan warga emas selain menambahbaik kebajikan mereka secara keseluruhannya.
Beliau berkata, Maggi menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan supaya kita dapat membantu menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini lebih istimewa dan membawa sinar kegembiraan sempena perayaan yang bermakna ini.
Menurut Geetha, sempena kempen itu, Maggi turut memperkenalkan tujuh resipi yang 'ong' dan enak, antaranya sajian periuk kemewahan, sup hirisan perut ikan istimewa, sajian mi kekayaan, sajian sayur harmoni, tumisan udang ceria, nasi ayam tembikar tradisi dan ikan kerapu kukus.
Kempen itu akan berlangsung sehingga 28 Februari 2021 dan menawarkan hadiah-hadiah bernilai lebih RM350,000.
Peraduan ini layak disertai oleh rakyat Malaysia di mana sumbangan sebanyak 10 sen akan disalurkan kepada dana kebajikan rumah jagaan warga emas bagi setiap penyertaan peraduan yang diterima.
Rakyat Malaysia boleh menghantar penyertaan peraduan mereka melalui WhatsApp atau pos apabila mereka membuat pembelian mana-mana produk Maggi.
Untuk maklumat lanjut tentang kempen itu dan resipi yang baharu, sila layari laman web rasmi MAGGI di www.maggi.my/ms/aktiviti-maggi/sajian-dikongsi-kebahagiaan-dirai-2021/.