JOHANNESBURG - Tentera Afrika Selatan meminda polisi pakaiannya bagi membolehkan askar wanita Muslim memakai tudung kepala sebagai sebahagian daripada uniform mereka, kata seorang jurucakap tentera pada Khamis.
Pasukan Pertahanan Afrika Selatan (SANDF) bersetuju untuk meminda polisi pakaiannya pada minggu ini dan membenarkan semua askar wanita Muslim memakai tudung kepala ketika mereka sedang bertugas.
Iklan
Iklan
"Peraturan pemakaian SANDF telah dikemas kini untuk membenarkan pemakaian tudung kepala oleh wanita Muslim," kata jurucakap Mafi Mgobozi kepada AFP melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Pada 2018, pegawai tentera itu, Mejar Fatima Isaacs didakwa mengingkari arahan selepas seorang pegawai atasan memintanya menanggalkan tudung kepala itu ketika beliau memakai pakaian seragam.
Bagaimanapun, sebuah mahkamah tentera dekat bandar Cape Town menarik semula semua dakwaan terhadapnya pada Januari 2020 dan membenarkan Isaacs memakai tudung kepala berwarna hitam dan tidak menutup kedua-dua telinganya selagi beliau menjalankan tugas.
Pada Rabu, Pusat Sumber Undang-Undang yang beribu pejabat di Afrika Selatan dan mewakili Isaacs menyambut baik keputusan membenarkan pemakaian tudung kepala tersebut. - Agensi