75,433 pengguna pilih 'Live Chat' PTPTN

Iklan
Paparan saluran Live Chat di portal rasmi PTPTN.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan seramai 75,433 pengguna memilih perkhidmatan Live Chat PTPTN dengan purata harian seramai 993 pengguna sehingga 31 Disember 2020.

PTPTN berkata, pihaknya melancarkan perkhidmatan berkenaan pada 14 September 2020 untuk membantu pelanggan membuat semakan, pertanyaan dan aduan bagi urusan pinjaman pendidikan, bayaran balik pinjaman dan simpanan SSPN.

Iklan
Iklan

Menurut PTPTN, perkhidmatan Live Chat merupakan saluran alternatif yang boleh diakses oleh pelanggan dengan mudah dan cepat susulan penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda.

"Kemudahan interaksi ini membolehkan pelanggan berhubung terus secara live dengan pegawai PTPTN yang sentiasa bersedia untuk memberikan maklum balas. Pelanggan juga tidak perlu mempunyai sebarang akaun media baharu untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

PTPTN berkata, perkhidmatan Live Chat PTPTN beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan dikendalikan oleh 16 pegawai bertugas termasuk seorang penyelia.

Pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan klik pada ikon Live Chat.

Iklan

PTPTN menyarankan pelanggannya menggunakan kaedah transaksi yang lebih selamat iaitu transaksi secara dalam talian (online) bagi urusan bayaran balik pinjaman PTPTN, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mahupun pinjaman PTPTN.

"Pelaksanaan kemudahan perkhidmatan ini adalah bukti komitmen PTPTN untuk memastikan urusan pelanggan tidak terjejas akibat pandemik Covid-19. PTPTN juga telah membuat penyelarasan waktu pengoperasian iaitu 9 pagi hingga 3 petang di pejabat PTPTN negeri dan pejabat PTPTN cawangan di seluruh negara,” katanya.

Bagi cawangan PTPTN yang terletak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau pasar raya masih dibuka seperti biasa berdasarkan kelulusan masa pengoperasian pihak pengurusan UTC atau pasar raya berkenaan.