Bangladesh pindahkan lebih ramai Rohingya ke pulau terpencil

Iklan
Bangladesh memindahkan 1,778 lagi pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil di selatan negara itu dalam fasa ketiga projek penempatan semula.

DHAKA - Bangladesh pada Jumaat memindahkan 1,778 lagi pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil di selatan negara itu dalam fasa ketiga projek penempatan semula, lapor Agensi Anadolu.

"Semua kapal yang membawa pelarian Rohingya dari bandar pelabuhan selatan Chattogram bertolak pada Jumaat pagi dan kami telah menyiapkan rumah kluster di pulau itu sebagai tempat tinggal untuk kumpulan yang baru tiba,” kata Pengarah Penempatan Semula Rohingya di Pulau Bhasan Char, Komodor Abdullah Al Mamun Chowdhury.

Iklan
Iklan

Disember lalu, Bangladesh memindahkan 3,446 pelarian Rohingya ke pulau di Teluk Bengal kira-kira 50 kilometer dari pantai barat daya Bangladesh. Pulau ini terdedah kepada bencana alam, menimbulkan risiko tinggi kepada penduduknya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Bangladesh mendakwa penempatan di pulau ini jauh lebih baik daripada kem yang penuh sesak di Cox's Bazaar, sebuah daerah yang menjadi tempat tinggal kepada 1.1 juta orang Rohingya.

Iklan

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh setelah pasukan keselamatan Myanmar melancarkan tindakan keras terhadap komuniti minoriti Islam itu pada Ogos 2017.

Menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario, sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 Islam Rohingya dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar. Ramai yang lain diperkosa dan dibakar, tambah laporan itu.

Iklan

Pesuruhjaya pelarian Bangladesh Shah Rezwan Hayat berkata sebilangan besar pelarian Rohingya di Cox's Bazar telah menawarkan diri untuk berhijrah ke pulau itu setelah mendengar terdapat kemudahan lebih baik di sana.

"Kami memberikan komitmen untuk memastikan kehidupan Rohingya terjamin di pulau itu sehingga mereka pulang ke kampung halaman di Rakhine Myanmar," tambahnya.

Organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kurang bersetuju dengan penempatan semula itu disebabkan faktor keselamatan. - Bernama