PARIS - Serangan Islamofobia di Perancis meningkat lebih separuh kali ganda pada 2020 dengan 235 serangan terhadap umat Islam, berbanding 154 kes tahun sebelumnya, kata ketua kumpulan pemantau pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.
Ketua Pemantau Islamofobia Nasional, Abdallah Zekri dalam satu kenyataan berkata, ia menunjukkan lonjakan 53 peratus.
Sebahagian besar serangan berlaku di wilayah Ile-de-France, Rhones-Alpes, dan Paca, kata Zekri.
Serangan terhadap masjid melonjak 35 peratus pada tahun yang sama, kata Zekri.
Menurutnya 70 surat ancaman telah dikirim ke ibu pejabat Majlis Ibadat Muslim Perancis (CFCM) atau pentadbirnya tahun lalu.
Zekri turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran pembohongan mengenai Islam dan umatnya serta e-mel yang mencetuskan kebencian terhadap umat Islam.
Beliau berkata masyarakat Islam di Perancis bimbang mengenai pandangan negatif yang wujud terhadap agama mereka.
Katanya, Islam tiada kaitan dengan keganasan, dan masyarakatnya sepatutnya boleh mengamalkan agama mereka dengan bebas sama seperti penganut agama lain.
Perancis mempunyai penduduk Islam terbesar di Eropah sekitar enam juta, kebanyakannya berasal dari Afrika Utara. - Bernama