Ibu Yati beri Yadim tempoh tujuh hari minta maaf

Iklan
Wan Noor Hayati buat laporan polis di Balai Polis Ampang pada Jumaat selain mempertimbang untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Yadim. - Foto Facebook

SHAH ALAM - Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan diberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemilik akaun Facebook, Ibu Yati berhubung kenyataan yang mendakwa Ibu Yati membawa ajaran agama baru iaitu Agama Melayu.

Ibu Yati atau nama penuhnya, Wan Noor Hayati Wan Alias berkata, kenyataan tersebut yang disiarkan dalam Facebook pada Jumaat telah menimbulkan kebencian awam serta menjatuhkan reputasinya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat.

Iklan
Iklan

"Antara fitnah beliau terhadap saya termasuklah kononnya saya melahirkan agama baru iaitu agama Melayu, saya melakukan syahadah pelik Ila Ha Ila Ra Ila Ma dan disambungkan dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali, saya menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab. Kononnya saya dan lain-lain membawa Islam Melayu.

"Dia (Nasrudin) menggambarkan niat jahatnya terhadap saya dengan merancangkan tindakan penguatkuasaan terhadap saya. Sedangkan saya tidak dimaklumkan kesalahan atau ditangkap atau didakwa atas apa-apa kesalahan berkaitan agama Islam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terpengaruh ajaran Islam Melayu 'Ibu Yati'

Iklan

Tambahnya, Nasrudin didakwa telah memfitnahnya membawa ajaran sesat serta mengakui mengenalinya sedangkan dia tidak mengenali beliau.

"Beliau juga jelas menghasut seluruh rakyat Malaysia membenci saya dengan memfitnah saya membawa ajaran Islam Melayu yang dikatakan ajaran yang sesat lagi menyesatkan.

"Beliau mengaku pernah kenal saya tetapi saya tidak pernah kenal dia,” jelasnya.

Mengulas mengenai rakaman video yang tular di media sosial pada Jumaat, Wan Noor Hayati menafikan kenyataan beliau membawa agama baharu dan mendakwa kandungan video berkenaan telah dimuat turun dan diubah suai.

"Saya mendapati kandungan di YouTube Ibu News Channel telah dimuat turun, diubah suai dan disiarkan kembali di luar konteks termasuk melibatkan rakaman video lain yang berusia lima tahun lalu.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat pada Jumaat di Balai Polis Ampang supaya siasatan lanjut dilakukan, selain mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Yadim.

"Yadim diminta memberi penjelasan dari mana mereka memiliki kuasa mengisytiharkan mana-mana individu sebagai sesat sekali gus mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Malaysia.

"Yadim diminta memohon maaf melalui kenyataan yang disiarkan di media utama yang boleh dibaca oleh rakyat Malaysia di negara ini atas kesalahan mereka menuduh saya membawa ajaran sesat tersebut tanpa sebarang siasatan rasmi,” jelasnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan individu melakukan upacara paluan gong yang dipercayai ritual ajaran agama Melayu di sebuah pulau yang dipercayai Pulau Besar.

Nasrudin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa oleh individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.