Kerajaan perlu segera tambah petugas barisan hadapan

Iklan
Dzulkefly

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menambah jumlah petugas barisan hadapan bagi mempercepatkan proses rantaian pengesanan wabak Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah ini membolehkan proses ujian, pengesanan kontak, isolasi, kuarantin, rawatan serta pemantauan dapat dilakukan dengan segera.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang pesat, Selangor akan menanggung padah paling teruk sekiranya proses ini berlangsung dengan perlahan.

"Seandainya proses ini lambat dan tergendala, maka kita hanya mampu memainkan peranan untuk mengekori virus ini sahaja dan kadar transmisinya juga akan melambung tinggi," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Iklan

Selangor menjadi negeri tertinggi merekodkan kes bahru Covid-19 pada Jumaat dengan mencatatkan sebanyak 3,126 kes.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Selangor merekodkan kenaikan mendadak antaranya melibatkan keputusan kes tertangguh (backlog cases) di penjara, klinik dan hospital swasta.

Iklan

"Untuk rekod, peningkatan ini adalah natijah daripada kes-kes tertangguh sejak 10 hari lalu," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pihaknya berpandangan kolaborasi antara semua pihak perlu diperkukuhkan lagi dengan mengambil pendekatan lebih tepat bagi mengekang penularan virus ini.

Tambah beliau, STFC turut melaksanakan Program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) yang merupakan kerjasama pintar tiga penjuru secara sukarela antara kerajaan negeri, majikan dan badan bukan kerajaan (NGO) di mana tumpuan ujian saringan berkala diberikan di kawasan kilang serta tempat kerja.

"Terkini, POIS akan jalin kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Federation of Malaysia Manufacturers (FMM)," katanya.