Saringan Covid-19 pekerja asing diperluas ke seluruh negara

Iklan
Program saringan Covid-19 bagi pekerja asing akan diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Februari ini. - Foto 123RF, gambar kecil: Saravanan

PUTRAJAYA - Program saringan Covid-19 bagi pekerja asing akan diperluaskan ke seluruh negara bermula 2 Februari ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, perluasan skop itu adalah susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari serta pengumuman bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permal) pada 18 Januari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik-klinik swasta di seluruh negara yang menjalankan ujian saringan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saravanan berkata, kos bagi kit ujian dibiayai oleh Perkeso manakala majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital.

Iklan

"Perkeso telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM54 juta bagi peluasan skop saringan ini," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata, bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Iklan

Beliau berkata, keperluan menjalani saringan Covid-19 diwajibkan oleh kerajaan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pematuhan kepada keperluan ini akan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Maklumat lanjut berkenaan program ini termasuk senarai klinik akan dikemas kini di portal Program Saringan Prihatin di https://psp.perkeso.gov.my dari masa ke masa. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel hsp@perkeso.gov.my atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089. - Bernama