YAN - Lebih 1,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar di bawah Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) kecewa kerana mendakwa tercicir dalam senarai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Presiden PPBSM, Saadan Man berkata, bantuan berkenaan sepatutnya diberikan secara menyeluruh memandangkan pemandu bas ekspres turut terjejas akibat penularan Covid-19 sejak Mac lalu.
Lebih malang lagi katanya, terdapat pemandu bas ekspres yang langsung tidak menerima gaji sehingga memaksa mereka menjadi buruh di kampung untuk mencari rezeki.
"Jadi saya sangat berharap kerajaan dapat bersikap lebih adil kepada mereka ini dan saya mewakili PPBSM sentiasa bersedia menyediakan senarai pemandu yang layak untuk menerima bantuan berkenaan," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Menurutnya, beliau telah memanjangkan isu berkenaan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong melalui surat yang dihantar pada 25 Januari lalu.
"Besar harapan kami agar isu ini mendapat perhatian kementerian dan juga lain-lain pihak yang terlibat supaya kami tidak terus tercicir dalam sebarang bantuan kerajaan," katanya
Bagi Mohammed Anis Hamid, 57, turut memberitahu berasa runsing ketika ini memikirkan nasib diri dan keluarga apabila terpaksa mencari sumber pendapatan lain sejak pembayaran gajinya terjejas ekoran pandemik berkenaan.
"Saya sekarang terpaksa lakukan apa sahaja kerja yang termampu untuk terus menyara keluarga. Kalau tak buat kerja kampung pun saya kerja jadi pengawal keselamatan secara sambilan.
"Itulah kalau dapat bantuan 'one off' Permai itu dapat juga meringankan sedikit beban kami, boleh juga buat modal berniaga kecil-kecilan," katanya.
Sementara itu, Mohammed Mohammad Ibrahim, 50, berkata, tidak semua syarikat menawarkan gaji pokok kepada pemandu bas ekspres sebaliknya ada yang dibayar mengikut jumlah perjalanan.
"Sejak pandemik Covid-19, kebanyakan syarikat sudah mengurangkan jumlah perjalanan kerana tidak ada penumpang.
"Jadi secara tidak langsung kami sebagai pemandu terkesan sama seperti pemandu bas persiaran dan bas pelancong yang tiada penumpang," katanya.