SHAH ALAM - Penyewa rumah kos rendah dan premis perniagaan di bawah seliaan Kementerian Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sewa sebanyak 50 peratus mulai Januari sehingga Mac ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, potongan itu membabitkan penyewa rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).
"Sungguhpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini peniaga boleh berniaga, (tetapi) kita tahu perniagaan mereka cukup terjejas.
"Pendapatan keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut menerima kesan.
"(Jadi) demi terus membantu mereka, kesemua penyewa rumah murah DBKL, PPj, PL dan penyewa premis niaga diberikan diskaun 50 peratus (mulai) Januari hingga Mac 2020," ciapnya di Twitter pada Sabtu.
Annuar pada tahun lalu mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi wilayah bebas berniaga selama enam bulan mulai 15 November 2020.
Katanya, inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan KL, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia sahaja.
Beliau bagaimanapun berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.