SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan beroperasi seperti biasa berkuat kuasa pada Sabtu dijangka mampu mengekalkan bekalan bahan mentah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kebenaran itu juga memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara yang menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot.
Beliau berkata, pada masa yang sama ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir untuk memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana itu baru-baru ini.
Selain itu katanya, kebenaran ini juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, oleh itu KPPK merakamkan ucapan penghargaan di atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut.
"Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran ini ditarik balik.
Katanya, pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi.
"Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha kerajaan mengurangkan penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja.
"Kementerian berharap sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar demi kemakmuran pembangunan negara," katanya.
Perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19.