'KATA' bagi penyair sering saja menjadi senjata maha penting dalam medan pertempuran dengan penguasaan politik, sama ada melalui penggunaan gaya retorik ironis memberontak ataupun gaya melonkolia sinis yang menjadi api dalam sekam menyuarakan penentangan.
Mungkin sesetengah pihak menanggapi puisi sebagai belati tumpul dan berkarat, namun ketajamannya jika diasah sebenarnya menjadi senjata terbaik yang menikam dalam diam.
Tidak hairanlah, senario di negara-negara luar menyaksikan penyair kadangkala diburu kerana mencipta bait-bait yang bertentangan dengan nilai-nilai penguasa dan kehendak pemerintah.
Di Indonesia contohnya, pada tahun 1979 ketika bacaan puisi mengkritik pembangunan di Pusat Kesenian Ismail Marzuki, Jakarta, ejen perisikan tentera Suharto dikatakan telah melemparkan bom ammonia ke pentas dan menangkap beliau. Ismail Marzuki dipenjarakan di Penjara Tentera Guntur dengan keadaan sel yang sangat teruk dan menghibakan.
Salah satu puisi klasik dalam tradisi Barat mengenai penentangan terhadap kuasa dan politik ialah Iliad karya Homer berkisar tentang luahan perasaan terhadap Perang Trojan. Sasterawan Nusantara juga kerap merakamkan puisi penentangan sama ada berbentuk retorik ironis mahupun melankolia sinis.
Chairil Anwar dan Rendra adalah antara penyair yang agak kerap dan terbuka menggunakan pena mereka dalam menentang gelodak politik. Keadaan politik Indonesia yang tidak stabil dan sering berlaku pergelutan kuasa melahirkan emosi yang penuh dengan penentangan.
Menurut Shafie (2013), perang dan kemusnahan dari satu segi boleh mencetuskan kelahiran penulis dan sasterawan yang perkasa semangat dan jiwa untuk melahirkan karya yang lebih hangat, juga duka dan air mata yang dengan daya kreatif dapat menghasilkan karya perang yang boleh menggugah jiwa dan minda pembaca.
Melawan
Gaya Chairil Anwar misalnya yang cukup terkenal dengan sifat melawan dan menentang dalam puisinya Aku melalui kata-kata yang ironis dengan jiwa pejuang tanpa berselindung,"Biar peluru menembus kulitku/ Aku tetap meradang menerjang/ Luka dan bisa kubawa berlari/berlari/ Hingga hilang pedih peri.”
Menariknya jika diperhatikan gaya bahasa yang digunakan antara penyair ini dengan Usman Awang, kelihatan Usman Awang lebih memilih puisi sinis dalam menunjukkan penentangannya."Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita/ Kering, bongkok, cacat, tempang dan buta/ Perang dalam kenangan penuh kengerian/ Sekarang dalam kepahitan/ Dalam kesepian.”
Perhatikan bagaimana Usman Awang melontarkan pilihan kata-katanya yang masih lagi cukup lembut namun sinis dalam mengungkapkan kesan dan akibat daripada kegilaan perebutan kuasa, politik dan peperangan.
Dalam kedua-dua contoh yang diberikan ini, meskipun menonjolkan pengungkapan gaya bahasa puisi yang berbeza namun kemunculan lontaran rasa daripada kedua penyair ini masih lagi berakar umbi daripada pokok persoalan yang sama iaitu ketidakadilan.
Rasa ketidakadilan yang berlaku terhadap masyarakat sering menjadi ilham dan motivasi kepada penyair atau penulis berbanding rasa keadilan yang cenderung lebih abstrak dan cenderung memberi inspirasi kepada renungan dan bukannya tindakan. Rasa keadilan dan keselesaan mudah mematikan kreativiti dalam kepengarangan.
Judith Shklar dalam karyanya The Face of Injustice (1990) mengatakan bahawa penyair perlu mengakrabi ketidakadilan kerana ketidakselesaan itu yang akan menjadi rangsangan kepada penyair untuk mencipta dan sekali gus menggunakan"peluru kata” melawan pihak penguasa melalui puisi.
Penguasa
Puisi-puisi Wiji Thukul sangat melekat dalam kalangan anak muda sehingga kini kerana rata-rata puisinya bercerita tentang kehidupan orang miskin, tertindas dan terpinggir. Kumpulan puisinya, Aku Ingin Jadi Peluru telah mengumpulkan puisi-puisi yang berbaur ungkapan marah, sedih, benci dan melawan secara jelas.
Di Malaysia, penentangan penyair dalam bentuk perluahan kata secara sinis dijelmakan dalam Antologi Keranda 152 (1967). Kebanyakan puisi dalam naskhah ini merupakan puisi protes dan sindiran kepada Artikel 152 dalam Perlembagaan Malaysia.
Usaha melawan penguasa ketika itu disuarakan oleh Usman Awang kepada anak-anak Melayu supaya berani bersuara menyatakan penentangan sebelum dibisukan pemerintah. Kata-kata yang kuat seperti ‘membakar’ diungkapkan Usman Awang, misalnya dalam baris"Panas dadamu membakar baju”.
Kecenderungan penyair Malaysia untuk melahirkan puisi-puisi sinis juga boleh diperhatikan daripada puisi A.Samad Said berjudul Peludah Warna. Kata-kata yang memperlihatkan cengkaman penguasa seperti"diragut, diramas, dicantas” turut digunakan untuk memperlihatkan ciri-ciri penekanan pemerintah.
Sindiran sinis A. Samad Said yang bermetaforakan warna kuning ketika itu bukan hanya permainan kata, tetapi menjadi satu jenama gerakan penentangan terhadap penguasa.
Puisi sememangnya mempunyai dampak ideologi. Apabila puisi dan politik ideologi bertembung, penyair yang berbakat akan berparodi dan menghasilkan karya sewaktu menghidu bau ketidaksaksamaan.
Tujuan karya pula kadangkala bukan semata-mata penentangan tetapi lebih bersifat memberi nasihat dan mengharapkan suara melalui karya itu sampai kepada penguasa.Rahman Shaari melalui naskhah Politik Tuk Ketua (2020) tidak menonjolkan kecenderungan beliau kepada mana-mana pihak.
Tokoh-tokoh politik dibicarakan tanpa penyanjungan atau cercaan. Kelebihan dan kekurangan ahli politik disebut sekadarnya secara sinikal.
Garapan sinis Rahman Shaari lebih berkisar kepada lingkaran sikap manusia yang ingin menjadi ‘tuk ketua’ hingga menimbulkan konflik berpanjangan.Ironis atau sinis? Retorik atau melankolia? Lugas atau lunak? Puisi seharusnya tidak sekadar membuai jiwa khalayak namun memberikan kesedaran kepada pembaca untuk menjunjung kebenaran.
* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia