Jadilah wira antirasuah, Ibu Segala Jenayah

Iklan
Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil

JENAYAH rasuah terus menjadi barah dalam masyarakat sehinggakan usaha untuk menghapuskannya menjadi semakin sukar.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, rasuah yang dianggap Ibu Segala Jenayah adalah punca berleluasanya sindiket dadah, pelacuran dan kegiatan jenayah lain.

Iklan
Iklan

"Malangnya, jika rasuah dibiarkan berleluasa tanpa bantuan daripada pelbagai pihak untuk mencegahnya, jenayah ini bukan sahaja merosakkan akhlak si perasuah malah mampu menjatuhkan ekonomi negara,” katanya.

Ikuti kupasan Shamshun Baharin dalam wawancara bersama Sinar Ahad yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa baru-baru ini.

Iklan

SINAR AHAD: SPRM sudah melalui pelbagai transformasi, boleh Datuk Seri ceritakan apakah perbezaan SPRM dahulu dan sekarang?

SHAMSHUN BAHARIN: SPRM ditubuhkan pada 1 Oktober 1967 yang pada waktu itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Iklan

Sepanjang lebih 53 tahun penubuhannya, ‘jenama’ suruhanjaya ini telah berubah daripada BPR ke Biro Siasatan Negara (BSN) sebelum menjadi BPR semula.

Penjenamaan semula entiti pencegahan rasuah ini adalah seiring dengan penggubalan Akta Biro Siasatan Negara, Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwujudkan bagi menggantikan BPR bermula pada 1 Januari 2009 sehinggalah kini.

Dengan itu juga, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Akta 694.

Dalam tempoh transformasi tersebut, perjuangan membanteras rasuah masih diteruskan bagi memastikan jenayah ini dapat dihapuskan.

Pada mula BPR ditubuhkan, jenayah rasuah tidak begitu ketara jika mahu dibandingkan dengan era moden sekarang.

Perubahan tersebut mendorong SPRM melangkah lebih setapak dalam usaha mencapai matlamat mencegah rasuah.

Ini termasuk perubahan melibatkan sistem, cara kerja dan struktur organisasi SPRM sendiri.

Ketika ini, modus operandi penjenayah rasuah semakin rumit dan SPRM perlu meningkatkan kemahiran pegawai-pegawainya.

Bagi memastikan usaha tersebut mampu dicapai, SPRM sentiasa berusaha memantapkan kecekapan para pegawai dalam menangani tugas pada masa hadapan.

Tumpuan kini diberikan kepada meningkatkan kemahiran pegawai dalam pelbagai bidang termasuk teknologi forensik dan penyiasatan rasuah ekonomi.

Peningkatan kemahiran penyiasatan juga diberikan penekanan kerana kes-kes berprofil tinggi banyak melibatkan sektor korporat yang menuntut pegawai-pegawai memahami isu-isu urus tadbir korporat.

Apakah cabaran terbesar SPRM dalam perang melawan jenayah rasuah?

Sebagai agensi tunggal pencegahan rasuah dalam negara, tanggungjawab membanteras jenayah ini amatlah berat dan harus dipikul oleh setiap pegawai SPRM. Tugas membanteras rasuah makin lama makin mencabar.

Dalam era moden ini, penjenayah rasuah semakin bijak dan licik menggunakan undang-undang untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan, selain penggunaan teknologi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan.

Jika dibandingkan dengan jenayah rasuah dahulu, dulu lebih straight forward. Sekarang mereka sentiasa mencari jalan untuk mengatasi tindakan undang-undang.

Penjenayah rasuah era moden ini juga mempunyai pelbagai taktik, dengan memikirkan bagaimana untuk mengatasi undang-undang atau sistem yang ada.

Justeru, SPRM perlu mengesan dan menjalankan penyiasatan secara lebih mendalam kerana pada waktu dahulu, tindakan individu yang melakukan rasuah dapat dikesan melalui gaya hidupnya yang serba mewah dan tidak setara dengan pendapatan yang dimiliki.

Pada ketika ini pula, walaupun kehidupan mewah seseorang itu kelihatan seperti berpunca daripada rasuah, namun undang-undang menuntut SPRM membuktikan dari mana punca rasuah itu berlaku. Dalam pada itu, persepsi dan sokongan masyarakat terhadap SPRM juga merupakan satu cabaran besar. Ini kerana tanpa bantuan dan sokongan masyarakat, SPRM tidak boleh bergerak bersendirian membasmi rasuah.

Pada pandangan Datuk Seri, apakah kesannya kepada negara jika rasuah dibiarkan berleluasa?

Umum mengetahui rasuah yang dianggap sebagai Ibu Segala Jenayah adalah punca berleluasanya sindiket dadah, pelacuran dan kegiatan jenayah lain.

Malangnya, jika rasuah dibiarkan berleluasa tanpa bantuan daripada pelbagai pihak untuk mencegahnya, jenayah ini bukan sahaja merosakkan akhlak si perasuah malah mampu menjatuhkan ekonomi negara.

Oleh itu, hala tuju SPRM sekarang dan akan datang adalah untuk membantu menjana ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dana kerajaan.

Tiga sektor rasuah yang menjadi tumpuan SPRM adalah rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan ‘rasuah mega’ melibatkan peringkat tertinggi atau berprofil tinggi.

Tumpuan ini dilihat lebih menjurus kepada sektor awam. Tidak dinafikan, kebanyakan kes-kes rasuah berlaku adalah dalam sektor awam.

Masih ramai yang tidak takut melakukan rasuah, mengapa perkara ini berlaku?

Memiliki kekayaan memang menjadi impian setiap daripada kita. Namun kekayaan itu harus dimiliki melalui sumber yang halal dan bukannya daripada unsur-unsur rasuah.

Perbuatan rasuah bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan melanggar perintah agama. Jika ingin dikaitkan dengan undang-undang jenayah rasuah, kami berpendapat undang-undang sedia ada adalah mencukupi.

Terdapat cadangan hukuman lebih berat dikenakan kepada si pelaku rasuah. Namun, tugas SPRM adalah menjalankan siasatan melibatkan rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

SPRM hanya sebagai agensi pelaksana. Semua perkara yang melibatkan undang-undang adalah di bawah tanggungjawab badan kehakiman.

Bagaimanapun, kami mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak sebelum memaklumkannya kepada kerajaan untuk diputuskan.

Apakah peranan orang ramai dalam membanteras rasuah? Sejauh manakah mereka boleh terlibat?

Peranan orang ramai amatlah penting dan dialu-alukan bagi membantu SPRM membanteras rasuah di setiap peringkat.

Laporan ataupun aduan daripada golongan ini banyak membantu SPRM dalam menjalankan siasatan seterusnya membawa si pelaku rasuah ke muka pengadilan.

Berhubung peranan orang ramai dalam membanteras rasuah, saya ingin menekankan bahawa kegagalan melaporkan jenayah rasuah boleh dihukum di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Peruntukan undang-undang ini bukan berniat untuk menakut-nakutkan orang ramai, sebaliknya mahu menerapkan ke dalam minda setiap orang mengenai betapa pentingnya melaporkan kesalahan rasuah.

Jika sebelum ini peringatan tentang kegagalan melaporkan rasuah boleh dianggap sebagai amaran sahaja, namun kini perkara tersebut telah diambil tindakan sewajarnya.

Ini terbukti apabila seramai lima kakitangan Kementerian Kewangan telah dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu selepas mengaku salah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa setelah ditawarkan rasuah.

Tindakan mencegah rasuah di Malaysia ini jika diamati sebenarnya telah mencakupi dari semua aspek, hinggakan kegagalan melaporkan pun dikira sebagai satu kesalahan jenayah.

Masyarakat bukan sahaja harus menolak rasuah, malah mereka mempunyai satu lagi tanggungjawab iaitu melaporkannya.

Jika tidak, mereka juga adalah penjenayah sama seperti pemberi dan penerima rasuah. Pilihan kita untuk melaporkan rasuah itulah yang membezakan kita antara menjadi wira atau penjenayah.

Ada yang bimbang identiti mereka terdedah andai tampil membongkar jenayah rasuah. Apakah jaminan kerahsiaan maklumat peribadi ini?

Sering kita dengar terdapat masyarakat yang takut melaporkan atau memberikan maklumat kepada SPRM kerana tidak mahu mengambil risiko. Di sebalik ketakutan itu, lebih besar mudarat yang akan berlaku jika jenayah rasuah berterusan.

Setiap orang perlu ada keberanian untuk mengatakan tidak kepada rasuah. Keberanian dalam melaporkan aktiviti rasuah akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Yakinlah, SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak.

Namun sekiranya terdapat pemberi maklumat dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu, SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak tersebut. SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat.

Peruntukan undang-undang tersebut boleh dijadikan sebagai panduan kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimana pula dengan persepsi rakyat terhadap rasuah ketika ini? Apakah masih ramai yang menganggap rasuah sebagai jenayah kecil sahaja?

Menyentuh mengenai persepsi, mungkin kita boleh merujuk kepada beberapa kajian persepsi seperti Global Corruption Barometer (GCB) Asia 2020 yang dilancarkan Transparency International (TI) tahun lalu sebagai garis panduan.

Berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 71 peratus rakyat Malaysia berpendapat bahawa rasuah di pihak kerajaan adalah serius manakala 39 peratus berpendapat gejala rasuah semakin meningkat di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan kes rasuah adalah melibatkan isu ketirisan perolehan kerajaan dari tahun 2015 sehingga kini yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Selain itu, hasil pembongkaran beberapa kes berprofil tinggi oleh SPRM seperti Macau Scam, penipuan SMS, cap palsu di sempadan negara dan isu kartel daging import juga jelas menunjukkan masalah rasuah di negara ini masih berleluasa.

Bagaimanapun, GCB Asia 2020 juga menunjukkan bahawa 67 peratus responden mempunyai keyakinan tinggi terhadap SPRM serta yakin dengan usaha membanteras rasuah. Ini merupakan satu kadar purata yang tinggi berbanding 63 peratus di negara Asia yang lain.

Pada masa sama, sebanyak 68 peratus responden berpendapat rakyat masih mampu melakukan perubahan dalam melawan rasuah dan kadar purata tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan 62 peratus di seluruh Asia.

Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun persepsi rakyat terhadap isu rasuah di negara ini masih negatif, namun persepsi mereka terhadap usaha pencegahan rasuah yang dilakukan oleh SPRM adalah positif. Ini bermakna masyarakat umum mempunyai kesedaran bahawa rasuah tidak boleh dilihat sebagai satu jenayah yang kecil sebaliknya perlu dibanteras habis-habisan.

SPRM memahami bahawa bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat umum berhubung isu rasuah di negara ini, terutamanya dalam masa yang singkat kerana usaha membanteras rasuah memerlukan masa, khususnya melibatkan kes-kes berprofil tinggi dan rumit.

Namun, apa yang pasti ialah SPRM tidak pernah gerun atau memihak kepada sesiapa dalam menjalankan siasatan dan berpegang kepada prinsip telus, bebas dan profesional.

ANEKDOT

Sinar Rasuah Busters suntik kesedaran perangi rasuah

Sinar Rasuah Busters merupakan satu inisiatif yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kesan-kesan rasuah terhadap negara malah mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya memerangi jenayah rasuah.

Selain itu, Sinar Rasuah Busters menjadi platform kepada orang ramai untuk berkongsi pandangan mereka tentang isu rasuah di negara ini. Ia juga satu idea yang harus dicontohi oleh agensi lain agar kumpulan sasar yang berlainan dapat berkongsi pendirian atau pendapat mereka tentang isu rasuah dengan masyarakat umum.

Media memainkan peranan yang amat penting dalam menyebarluaskan mesej dan maklumat kepada orang ramai. SPRM amat menghargai sokongan dan inisiatif Sinar Harian dalam membantu SPRM dalam menyebarluaskan mesej antirasuah.

SPRM menyokong setiap inisiatif dan usaha untuk memerangi gejala rasuah daripada semua pihak dan berharap kerjasama ini akan berterusan supaya jenayah rasuah dan salah guna kuasa dapat diperangi habis-habisan.

* Harapan Malaysia bebas rasuah

Tahun lalu, sehingga hari ini, negara kita dilanda pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negara.

Bagi menjamin kebajikan rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak tersebut, kerajaan telah banyak menyalurkan bantuan bagi meringankan beban khususnya individu yang kehilangan kerja atau terjejas sumber pendapatan.

Dalam hal ini, SPRM berperanan dalam membantu negara untuk menjana ekonomi iaitu mengurangkan ketirisan dana kerajaan dengan memastikan setiap pihak bekerjasama dengan SPRM dalam mencegah rasuah.

Namun, ini tidak bermakna kes-kes lain tidak diutamakan. Selain isu ketirisan, SPRM akan menjalankan operasi seperti biasa bagi menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Walaupun penularan wabak Covid-19 ini merupakan satu cabaran besar kepada negara termasuk kepada suruhanjaya ini, namun ia tidak mematahkan semangat SPRM.

Bukan mudah untuk menangani isu rasuah, terutamanya dalam situasi sekarang, namun SPRM percaya dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil untuk kita mencapai matlamat mewujudkan negara yang berintegriti dan bebas rasuah.

Ingin saya tegaskan sekali lagi, setiap individu memainkan peranan penting malah sebagai frontliner dalam usaha memerangi jenayah rasuah kerana setiap maklumat yang disalurkan atau dilaporkan akan membantu SPRM menjalankan siasatan.

Demi kepentingan negara, sama-samalah kita menjadi hero dan bukan zero dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.