SHAH ALAM - Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index (CPI) adalah penting untuk pemulihan ekonomi kerana pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara yang korup.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil, keutuhan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada tadbir urus baik sesebuah kerajaan yang memerintah.
"Jika sesebuah negara itu korup, mereka (pelabur) takut untuk datang melabur kerana akan menjejaskan aliran modal mereka.
"Lagipun, jika korupsi terlalu teruk, peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terjejas dan ini memberi kesan kepada peluang pekerjaan kerana PKS tidak mampu bersaing dengan sihat kerana modal perniagaan mereka kecil.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang ringan kejatuhan CPI
CPI jatuh: TI-M cadang kerajaan pinda Akta Rahsia Rasmi
Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh ke tangga 57
"Di samping itu, jurang kemiskinan semakin besar kerana banyak ketirisan yang berlaku menyebabkan yang kaya menjadi semakin kaya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, Laporan Transparency International (TI) yang meletakkan kedudukan Malaysia pada tangga ke-57 dalam CPI tahun 2020 amat menyedihkan setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya memulihkan kedudukan negara sepanjang 22 bulan mentadbir negara.
Menurutnya, kemerosotan CPI tahun 2020 disumbangkan sepenuhnya oleh Perikatan Nasional (PN) kerana mereka mentadbir 10 bulan dan banyak kes rasuah melibatkan bekas menteri dilepaskan.
Di samping itu, katanya, pembaziran dalam projek pembinaan tiga dewan di Pagoh sebanyak RM35 juta ibarat ketam mengajar anaknya berjalan kerana jelas ia satu pembaziran dan penyelewengan wang negara serta ini juga menghakis keyakinan masyarakat.
"Lagipun, sikap tidak integriti PN untuk mengekalkan kuasa dengan berpaksikan 'scheme of things' dengan melantik pimpinan UMNO dan Pas dalam jawatan Kabinet besar tanpa fungsi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang kepada kemerosotan CPI Malaysia.
"Kejatuhan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah juga berpunca daripada sogokan politik yang didorong kegilaan kuasa PN. Dengan kekalnya PN mentadbir dengan corak sebegini, sukar untuk Malaysia melonjak CPI di masa akan datang," katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, negara memerlukan kepimpinan baharu benar-benar ada tekad politik untuk membenam amalan rasuah dalam negara.
"Keseriusan melawan agenda ini tidak dapat dilakukan jika menteri juga terlibat dengan amalan korupsi. Ibarat, kepimpinan melalui teladan, teladan menteri mana yang birokrat dan awam mahu contohi hari ini," soalnya.
Untuk rekod, CPI Malaysia berada pada kedudukan 62 tahun 2017, tetapi melonjak ke tangga 61 tahun 2018 setelah setengah tahun PH memerintah dan naik ke tangga 51 tahun 2019, tetapi merosot ke tangga 57 tahun lalu setelah PN mengambil alih pentadbiran negara melalui pintu belakang.
Muhammad Faiz berkata, ini menunjukkan kesungguhan PH menunaikan janjinya untuk menghapuskan amalan rasuah dengan mendakwa ramai bekas menteri termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, PH memperkenalkan slogan ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ dalam urusan kerajaan sebagai peringatan kepada pegawai kerajaan atau birokrat untuk sentiasa amanah yang secara langsung menghindarkan diri dari gejala jijik itu.
"Inilah tekad politik (political will) yang ada pada PH dan satu reformasi jitu telah dilaksanakan. Namun, PN gagal untuk meneruskan agenda ini sehingga menjunam enam anak tangga," katanya.