Arnab 'kayangan' ubah hidup pemandu bot pelancong

Iklan
Farez Fahmi menunjukkan arnab 'kayangan' yang dibelanya iaitu baka New Zealand Red dan Carlifornia selepas hilang pekerjaan disebabkan Covid-19.

PASIR PUTEH - Percubaan berani seorang anak muda mengusahakan penternakan arnab berstatus 'kayangan' dari baka New Zealand Red dan Carlifornia membuahkan hasil apabila ia mampu menjana pendapatan lumayan.

Situasi itu sekali gus meredakan 'tekanan' Farez Fazmie Mustapa, 27, yang hilang kerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian, Terengganu akibat serangan pandemik Covid-19 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Kampung Bukit Awang itu berkata, dia nekad untuk berbuat demikian selepas melihat potensi yang ada pada arnab 'kayangan' tersebut jika diusahakan dengan sebaik mungkin.

"Bermula dengan enam ekor dan bermodalkan RM10,000, saya kini mampu tersenyum apabila bilangan arnab dari baka itu makin bertambah dan berada dalam keadaan sihat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, arnab dari baka New Zealand Red dan Carlifornia memerlukan penjagaan rapi apabila perlu berada dalam keadaan bersih dan sejuk sebagaimana suhu di negara asalnya.

Baka import yang turut dibela oleh Farez Fahmi.

Katanya, bagi memastikan persekitaran persis negara asal dia telah memasang penghawa dingin di dalam kandang bagi memastikan arnab itu selesa.

Iklan

"Bagi memastikan arnab kekal sihat setiap hari saya akan memberikan vitamin C selain makanan dalam bentuk palet. Jadi tidak salah jika ia digelar sebagai arnab 'kayangan'," katanya sambil tersenyum.

Farez Fazmie berkata, walaupun penat, namun dia gembira dapat melihat arnab itu membesar dengan sihat.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka di sebalik musibah Covid-19 terselit rezeki apabila mampu menjadi penternak arnab berjaya berbekalkan kesungguhan yang ada.

"Saya turut menternak arnab pedaging dari baka New Zealand untuk dijual sebagai induk.

Anak muda dari Bukit Awang, Pasir Puteh ini tidak pernah menyangka Covid-19 menjadikannya sebagai penternak arnab sehingga mempunyai ratusan ekor arnab pedaging.

"Selain itu, saya turut menjual daging untuk dijadikan sebagai arnab golek, perap dan sate. Kesemuanya bagi pasaran seluruh negara," katanya.

Farez Fahmi turut mendedahkan dia sudah nekad untuk meninggalkan laut dan pantai yang sebelum ini menjadi darah dagingnya bagi membuka sebuah ladang ternakan arnab secara komersial.