ALOR SETAR - Seorang warga emas berharap permohonan pembinaan rumahnya melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) pada Ogos tahun lalu dapat diluluskan bagi menggantikan rumah pusakanya yang menanti runtuh di Lorong Ayer Puteh, Jalan Pegawai, dekat sini.
Rokhimah Ismail, 67, tinggal seorang diri di rumah tersebut dan menyara kehidupannya melalui bantuan bulanan yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) RM350 dan LZNK RM200.
Menurutnya, keadaan rumah tersebut semakin rosak dimakan anai-anai dan sebahagian besar bumbung rumahnya juga telah banyak yang bocor.
"LZNK ada datang tinjau keadaan rumah ini pada Disember lalu dan melihat dokumen berkaitan seperti geran tanah dan sebagainya. Jadi saya harap permohonan bantuan bina rumah ini dapat diluluskan.
"Saya dah tinggal di sini sejak tahun 1973 lagi dan sayang untuk berpindah keluar. Adik di Jitra ada ajak tinggal bersamanya tapi saya tak mahu. Saya tak nak menyusahkan orang lain.
"Jika pergi melawatnya sekali-sekala bolehlah," katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menerima kunjungan Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah, Hazwan Haniff dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah, Amirul Syahir Musa pada Ahad.
Rokhimah yang masih tidak berkahwin dan merupakan anak kedua daripada tujuh beradik berkata, dia selalu terjatuh akibat lantai rumah yang reput dan keadaan dalam rumahnya juga basah setiap kali hujan.
"Saya nak bina sendiri rumah pun memang tidak mampu walaupun bapa tinggalkan kira-kira 0.29 hektar tanah ini. Nak baiki rumah pun keadaannya sangat uzur.
"Adik-beradik dan anak saudara ada juga datang jenguk tapi bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak dapat datang. Saya memang harapkan bantuan JKM dan LZNK sahaja," katanya lagi.
Bercerita lanjut, Rokhimah berkata, bapanya, Allahyarham Ismail Ibrahim meninggal dunia pada1975 manakala ibunya pula, Allahyarham Aisyah Saad dijemput ilahi empat tahun lalu.
Menurutnya, duit bantuan diterima digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan keperluan dapur termasuk membayar bil elektrik dan air.
Sementara itu, Hazwan ketika ditemui berkata, pihaknya akan membantu Rokhimah menyemak permohonan pembinaan rumahnya melalui LZNK dalam usaha membantu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada warga emas yang tinggal seorang diri itu.
Dalam pada itu, Amirul Syahir pula menyampaikan barangan sumbangan keperluan dapur kepada Rokhimah.