Malaysia perlu buat tetapan semula sistem nasional: Nazir

Iklan
Nazir Razak

SHAH ALAM - Malaysia memerlukan satu tetapan semula terhadap sistem nasional atau 'Penentukuran Semula Negara' untuk keluar daripada belenggu pertumbuhan ekonomi hambar, politik yang tidak berfungsi dan masyarakat yang berpecah-belah.

Tokoh perbankan terkemuka negara, Datuk Seri Nazir Razak berkata, keadaan bangsa ketika ini menuntut negara berusaha ke arah ketidakterusan sistem sedia ada (Westminster) dan perlu dilakukan ketetapan semula sistem tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita harus benar-benar jujur dan mengakui bahawa sistem ini tidak lagi berfungsi melainkan kita mengambil langkah berani untuk merombaknya.

"Sekiranya kebijaksanaan konvensional mengatakan bahawa ketetapan semula nasional memerlukan satu krisis seperti Krisis Kewangan Asia di Indonesia atau tamatnya apartheid di Afrika Selatan, Malaysia sudah pun berada dalam krisis Covid-19 dan keadaan darurat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selaku panelis atau penceramah dalam Webinar Institut Universiti Malaya (UM) Asia-Eropah dan Institut ANU Malaysia bertajuk 'Ke Mana Hala Tuju Model Perpaduan Malaysia?' yang diadakan baru-baru ini.

Webinar tersebut menggandingkan beliau bersama tiga lagi panelis iaitu, Dr Amrita Malhi dari ANU serta Profesor Terence Gomez dan Profesor Johan Saravanamuttu masing-masing dari UM.

Iklan

Mengulas lanjut, Nazir memberitahu, Malaysia mewarisi sistem Wesminster semata-mata kerana negara merupakan satu tanah jajahan sedangkan kesesuaiannya dengan keadaan negara tidak banyak diperdebatkan khususnya mengenai masyarakat majmuk, tahap perkembangan serta sejarah dan budaya negara.

"Sistem tersebut gagal pada rintangan sebenar pertama semasa Pilihan Raya Umum Ketiga kita pada tahun 1969. Ketika itu, kita melalui Perintah Darurat sekitar 21 bulan di mana sistem tersebut telah dikalibrasikan semula dengan pengenalan Rukun Negara, undang-undang hasutan (bertujuan membanteras kebangkitan isu sensitif atau keradangan di khalayak ramai), Dasar Ekonomi Baharu (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan mengimbangi kekayaan antara kaum serta sebuah kerajaan gabungan besar Barisan Nasional (BN).

"Bagaimanapun, pengarang sistem 1970 itu mengakui bahawa mereka berinovasi kerana keadaan terdesak iaitu mereka saling memerangi sesama sendiri dan sistem tersebut perlu dikaji dari masa ke masa namun selepas 50 tahun, ia masih kekal secara meluas. Bahkan, jangka waktu DEB ditetapkan selama 20 tahun," katanya.

Justeru itu, bekas Pengerusi CIMB Group itu menegaskan, negara perlu kembali ke meja rundingan untuk mendebat serta merunding dan menetapkan semula cara demokrasi berfungsi termasuk bagaimana memilih pemimpin, bagaimana institusi berfungsi dan kontak sosial yang membentuk sikap rakyat terhadap kebanyakan perkara.

Katanya, ia juga kerana sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin negara, termasuk mereka yang mempunyai niat terbaik akhirnya terpesong kerana 'raksasa berkepala tiga' iaitu politik wang, politik identiti dan penumpuan kuasa.

"Raksasa tersebut memusnahkan niat, perubahan dan rancangan terbaik antaranya Wawasan 2020, Koridor Raya Multimedia (MSC), Islam Hadhari, DEB dan 1Malaysia," katanya.

Tambah Nazir, sistem itu dibiarkan berfungsi tanpa ketelusan supaya kepentingan politik dapat diberikan keutamaan hinggakan pada pertengahan 1990-an pertandingan untuk jawatan parti UMNO kelihatan sengit dan calon boleh menggunakan wang atau kontrak untuk mendapatkan sokongan tanpa halangan yang nyata.

"Secara ringkasnya, sistem Malaysia ibarat lakonan yang ditulis dengan teruk. Tidak kira berapa baik barisan pelakon yang dipilih, namun lakonannya akan tetap buruk. Jadi kita perlu menukar skrip itu.

"Menerusi kerjasama dengan beberapa ahli akademik sivil, saya telah memulakan kajian selama enam bulan untuk mengumpulkan pandangan rakyat Malaysia di pelbagai spektrum masyarakat secara langsung dan digital di mybetterfuture.org," katanya.

Jelas beliau, tujuan pihaknya adalah untuk memerihalkan bagaimana rupa Malaysia yang lebih baik dan meyakinkan orang ramai bahawa ada sistem yang lebih baik dan perlu melalui proses penyusunan semula sistem yang memedihkan.

"Apakah asas utama Malaysia yang lebih baik? Walaupun ada risiko pendedahan hasil kajian terlalu awal, saya ingin mencadangkan agar beberapa perkara iaitu pengaturan institusi baharu perlu mempunyai pengadil berkesan untuk persaingan politik.

"Perlu dilakukan pemisahan perniagaan, kerajaan dan politik yang jelas, dilakukan pembaharuan pilihan raya serta kontrak sosial baharu antara masyarakat dan antara pemerintah dan yang diperintah.

"Juga mesti ada kejelasan peranan Islam dan negara dan diwujudkan integrasi komunal merangkumi penentuan dan perundangan menentang rasisme dan prasangka," kata beliau.

Menurutnya, matlamat segera projek itu hanyalah untuk mendapatkan sokongan untuk penubuhan platform musyawarah lain seperti Majlis Perundingan Negara (NCC) yang pernah diwujudkan pada 1970-an.

Kata beliau, NCC versi kedua perlu berdebat dan memutuskan banyak prinsip serta pembaharuan kritikal yang bakal menentukan apa sebenarnya Malaysia Baharu.