Perancis tolak langkah 'lockdown' baharu

Iklan
Emmanuel Macron.

PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Sabtu mempertahankan keputusan tidak akan melaksanakan lockdown baharu ketika negara itu sedang bergelut dengan gelombang jangkitan ketiga dengan merekodkan lebih 3.2 juta kes jangkitan dan lebih 76,000 kematian.

Macron menyatakan beliau yakin dengan kemampuan rakyat negara itu untuk membendung penularan wabak tersebut walaupun pemerintah dikritik kerana tindak balas perlahan dalam melancarkan program vaksinasi Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya letakkan kepercayaan kepada anda. Ini adalah waktu sukar yang perlu kita lalui bersama. Ayuh, kita lakukan sehabis baik untuk memperlahankan wabak ini," katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Olivier Veran berkata, tiada risiko jika menangguhkan keputusan untuk melaksanakan lockdown memandangkan penyebaran varian baharu. B.1.1.7 dari United Kingdom (UK) yang lebih perlahan berbanding apa yang dijangkakan laporan penyelidikan sebelum ini.

Iklan

"Tindakan segera akan diambil jika virus bermutasi itu merebak dengan cepat," ujarnya.

Sebelum ini, pakar perubatan telah menyarankan pelaksanaan lockdown ketiga berikutan 10 peratus kes direkodkan di negara itu adalah berpunca daripada virus bermutasi, B.1.1.7.

Iklan

Keputusan kaji selidik terbaru juga menunjukkan lebih satu perempat juga bersetuju dengan langkah itu selain keyakinan awam semakin menurun terhadap cara pemerintah menangani krisis itu.

Bermula Ahad, Perancis akan menutup sempadan negara itu kecuali untuk perjalanan penting dan pusat beli-belah selain pihak berkuasa meningkatkan rondaan untuk memastikan rakyat mematuhi perintah berkurung bermula jam 6 petang (waktu tempatan).

Dalam perkembangan lain, kehidupan di seluruh dunia dikatakan tidak akan kembali normal sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun berdasarkan kadar pengedaran vaksin Covid-19.

Kenyataan itu dikeluarkan pensyarah polisi kesihatan global di London School of Economics di United Kingdom (UK), Dr Clare Wenham yang memaklumkan pandemik tersebut tidak akan berakhir selagi seluruh populasi dunia dilindungi di bawah program vaksinasi yang sedang giat dijalankan di kebanyakan negara.

"Pada masa ini, data menunjukkan tempoh untuk pulih seperti sediakala mungkin pada 2023 atau 2024. Ia adalah satu tempoh yang agak lama.

"Kita masih perlu menjalani kehidupan dengan beberapa bentuk sekatan termasuk kawalan sempadan sehingga populasi dunia diberi vaksin.

"Oleh itu, adalah penting untuk memastikan kesemua penduduk global terutamanya golongan berisiko tinggi mencapai tahap minimum vaksinasi yang sama," ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan tentang keperluan pengedaran vaksin secara adil dan memberi amaran terhadap pihak yang mengambil sikap mementingkan diri sendiri yang akan akan memburukkan lagi pandemik tersebut dan penderitaan populasi dunia. - Agensi