LUMUT - Kelengkapan milik sebuah kilang seramik di sini disita selepas dikesan melepaskan efluen tidak terawat ke dalam longkang awam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Ops Teras yang dijalankan JAS Cawangan Teluk Intan.
"Sebuah kilang seramik telah ditahan kelengkapan kerana kesalahan melepaskan efluen tidak terawat ke longkang awam.
"Efluen sepatutnya dirawat sebelum dilepaskan dan hendaklah dipastikan had pelepasan adalah mematuhi standard yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurutnya, tindakan kilang itu memberi kesan kepada kualiti air dan hidupan akuatik berikutan air mengalir hingga memasuki sungai berhampiran.
"Kilang tidak diarah berhenti operasi tetapi kelengkapan proses disita di bawah Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan disusuli dengan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 akta yang sama.
"Keputusan ujian kimia diperlukan untuk pengesahan tahap pencemaran dan sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia pada Isnin," katanya.
Katanya, Opss Teras yang bermula dari jam 9.30 malam hingga jam 1 pagi pada Ahad disertai Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar.