Kembali pada ajaran Islam, pendidikan asas

Iklan

KANGAR - Umat Islam wajar berasa malu kerana rata-rata negara di dunia yang muncul juara kadar rasuah tinggi adalah dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia, seperti dilaporkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, sehubungan itu, aspek pendidikan perlu dititikberatkan dalam usaha melahirkan kembali ketamadunan umat yang berintegriti dan bersih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, silibus berkaitan mampu memupuk sifat integriti dan perlu diajar kepada pelajar sejak peringkat pra sekolah sehingga ke universiti.

"Namun pembelajaran secara teori sahaja tidak mencukupi, anak-anak perlu dilatih secara praktikal sebagaimana di Jepun yang sudah lama menerapkan elemen itu dalam sistem pendidikan.

Iklan

Kita harus kembali kepada asas Islam. Bagaimana rasuah berleluasa sedangkan ajaran Islam menuntut umatnya menjadi insan berintegriti, telus dan akauntabiliti apabila diberikan sesuatu amanah, bukan menyalahgunakan kuasa atau menyeleweng,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Asrul Nizan berkata, aspek penguatkuasaan dan penambahbaikan amalan ‘good governance’ dalam sistem pentadbiran juga tidak boleh sama sekali dikesampingkan, sekiranya kita benar-benar serius mahu membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Iklan

"Contohnya, amalan tender kerajaan secara terbuka akan menjimatkan wang pembayar cukai dan diyakini lebih telus. Ingatlah, peribahasa kuno Cina yang popular mengatakan, ‘ikan itu busuk bermula dari kepala’ secara falsafah ia umpama sebuah negara yang mulai rosak berpunca daripada pemimpinnya,” katanya.

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga seharusnya kembali diperkasakan sehingga menjadi ‘harimau yang punya taring’.

"Antara yang perlu diberikan perhatian, mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM harus lebih telus dengan mendapat pertimbangan daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen, termasuk pelantikan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara supaya wujud mekanisme semak dan imbang,” katanya.

Asrul Nizan berharap wujudnya autonomi khas sebagaimana sistem badan kehakiman bagi ketiga-tiga agensi penting terbabit.

"Sudah sampai masanya digubal undang-undang mewajibkan pengisytiharan harta melalui akuan berkanun dan secara terbuka oleh semua wakil rakyat dan eksekutif yang mentadbir kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri termasuk ketua-ketua jabatan dalam agensi awam.

Pada masa sama, undang-undang berkaitan harus diperketatkan, individu disabitkan bersalah dan terbukti hartanya diperoleh secara tidak sah, sama ada masih memegang jawatan atau bersara, aset-aset tersebut perlu disita dan dilucut hak selain denda berlipat kali ganda daripada nilai aset termasuk hukuman sebat dan penjara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berharap supaya undang-undang kebebasan maklumat sebagaimana dikuatkuasakan di Pulau Pinang dan Selangor digubal di negeri-negeri lain termasuk peringkat Persekutuan.

"Harapan saya agar ‘sepak mula’ Sinar Harian melalui kempen ‘Sinar Rasuah Busters’ akan menjadi obor pembakar semangat anak bangsa supaya lebih ramai rakyat Malaysia dengan tekad sama melawan rasuah sehingga ke akar umbi.

Usaha murni Pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub wajar mendapat sokongan semua pihak bagi menjayakan cita-cita membanteras rasuah yang telah membarah di negara kita,” katanya.

Asrul Nizan turut mengingatkan, ajaran Islam jelas menyebut, ALLAH SWT melaknat pemberi, penerima dan pengantara dalam perbuatan rasuah, yang dipetik dalam sebuah hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru.

"Seseorang yang dilaknat ALLAH SWT disifatkan sebagai mereka yang jauh daripada mendapat rahmat dan taufik daripada ALLAH SWT. Maka apabila gagalnya seseorang untuk meraih rahmat maka sudah pasti akan jauhlah dia daripada segala kebaikan dan nikmat ALLAH SWT,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral dari rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.