MERAK Jalanan geleng kepala apabila membaca kisah seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Kerubong, Melaka yang meninggal dunia pada Jumaat dipercayai didera.
Mayatnya ditemui di dalam tong air dan mempunyai kesan kecederaan pada badannya. Ibu dan bapa tirinya telah direman sehingga 5 Februari depan untuk membantu siasatan.
Perasaan marah, geram, sedih semuanya bercampur-baur. Kematian adik Zubaidi Amir Qusyairi menyentap perasaan rakyat Malaysia.
Sedangkan binatang pun sayangkan anaknya inikan pula manusia yang diberi akal fikiran. Anak adalah rezeki daripada ALLAH, kenapa buat anak sendiri macam itu.
Anak kecil yang tak berdosa itu baru sahaja tinggal bersama ibu kandungnya selepas enam tahun diasuh oleh keluarga angkat yang amat sayang kepadanya.
Kisah mereka pernah tular di media sosial pada Oktober tahun lalu. Merak Jalanan sendiri sebak melihat video perpisahannya bersama keluarga angkat selepas diambil semula oleh ibu kandungnya. Sangat menyayat hati.
Begitu erat hubungan Amir dengan keluarga angkatnya itu sehingga Amir dianggap sebagai anak bongsu mereka sendiri. Ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassan memberitahu bahawa mereka sekeluarga sangat berat untuk melepaskan Amir namun, keluarga kandungnya lebih berhak ke atasnya.
Enam tahun ditatang dengan penuh kasih sayang oleh keluarga angkat tetapi tidak sampai tiga bulan bersama ibu kandung, Amir sudah tidak bernyawa.
Disangka bakal bahagia kembali ke pangkuan ibu kandung, sebaliknya berakhir dengan tragedi. Memang tiada siapa yang menduga.
Tiada siapa yang menyangka ketentuan Ilahi. Sama-sama kita doakan agar roh Amir ditempatkan di syurga Firdaus.
Pada masa sama, Merak Jalanan berharap tragedi seperti ini tidak berulang lagi dalam masyarakat kita.