KOTA BHARU - Usaha menangani jenayah rasuah bukanlah sesuatu yang mudah, malah memerlukan ‘vaksin’ paling mujarab termasuk penguatkuasaan.
Bagi penceramah, Syamsul Yusoff Al Habshee, sebagaimana yang digerakkan oleh Sinar Harian, ia satu usaha murni untuk sama-sama memberikan kesedaran kepada umum dalam membanteras rasuah.
Iklan
Iklan
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik sekiranya usaha diperhebatkan lagi dengan peranan para penceramah agama untuk menyuntik dalaman segenap pelosok insan di dunia ini agar takut melakukan rasuah.
"Islam sudah memberitahu yang pemberi dan penerima rasuah akan berada dalam neraka. Ini amaran keras kepada umat Islam kerana kesan rasuah ini amat dahsyat dan boleh meruntuhkan negara selain masyarakat.
"Pada hemat saya meskipun ceramah tidak dapat dilakukan secara bersemuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tetapi penceramah yang ada boleh menggunakan tarikan mereka tersendiri untuk mendidik masyarakat menjauhi rasuah,” katanya.
Syamsul Yusoff berkata, penceramah juga boleh menggunakan medium tersendiri untuk sentiasa menyedarkan masyarakat supaya tidak sesekali mendekati rasuah selain mendidik seseorang itu menjadi pelapor kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu katanya, selain gerak saraf lain yang dijalankan, kempen-kempen penguatkuasaan juga perlu lebih tegas bagi memerangi rasuah dalam negara yang semakin membarah.