Syor hukuman sebat bagi pesalah rasuah

Iklan
Wan Azliana

KUALA TERENGGANU - Hukuman sebat wajar dikenakan kepada individu yang disabitkan dalam kesalahan rasuah kerana ia dilihat sebagai ‘ibu’ kepada tercetusnya jenayah berat yang lain.

Peguamcara, Wan Azliana Wan Adnan berkata, hukuman lebih serius harus dikenakan bukan hanya memberi pengajaran kepada pesalah terlibat tetapi juga bagi menakutkan masyarakat lain agar jangan sesekali cuba mendekati jenayah ini.

Iklan
Iklan

"Hari ini undang-undang berkaitan jenayah rasuah sama ada memberi atau menawarkan ganjaran dan faedah diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat hukuman yang sedia ada hari ini iaitu dengan hanya mengenakan hukuman penjara dan denda sahaja sudah tidak relevan bagi menyedarkan masyarakat tentang betapa ‘beratnya’ jenayah rasuah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, kebanyakan kes rasuah yang didakwa di mahkamah melibatkan kes kecil sahaja dan kes berprofil tinggi tidak didedahkan kepada awam atas pelbagai alasan diberikan.

"Bagi saya, selepas ini, pihak berwajib perlu lebih tegas dan mengelakkan selective prosecution yang mana hanya kes rasuah kecil sahaja didakwa manakala pihak berpangkat tinggi bebas daripada dakwaan jenayah rasuah di mahkamah.

Iklan

"Pihak berwajib seharusnya perlu menjalankan siasatan dan tangkapan terhadap pesalah rasuah tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan darjat seseorang,” katanya.

Jelas Wan Azliana lagi, pihak berwajib juga digalakkan memberikan maklumat pesalah yang disabitkan di mahkamah berkait jenayah rasuah kepada awam.

"Bagi saya, pendedahan maklumat pesalah rasuah seperti gambar dan butiran berkaitan oleh pihak berwajib adalah suatu inisiatif yang bagus kerana pesalah rasuah perlu didedahkan kepada umum agar masyarakat lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Cara ini juga dilihat berkesan untuk menjadi amaran awal kepada mana-mana pihak yang merancang untuk melakukan rasuah,” katanya.

Tambah beliau, secara realitinya individu akan berdepan dengan dugaan rasuah apabila mempunyai kuasa, jawatan dan pangkat yang tinggi.

"Di sinilah pentingnya kesedaran mengenai etika profesional, pengetahuan ilmu agama dan juga undang-undang kerana ia akan menjadi perisai utama diri daripada melakukan perkara yang tidak beretika.

"Sebagai contoh kes-kes rasuah yang melibatkan profesion guaman biasanya wang suapan ditawarkan kepada hakim sebagai dorongan bagi melepaskan kesalahan yang didakwa di mahkamah, atau menjatuhkan hukuman ringan ke atas orang yang didakwa atau menawarkan suapan kepada pendakwa raya sebagai dorongan supaya tidak mendakwa orang tersebut di mahkamah.

"Tetapi walaupun apa jua ujian diberi, bagi saya mudah sahaja, selagi mana kita mengamalkan kod etika profesional, menjalankan tugas dengan integriti yang tinggi dan sikap tegas ditonjolkan dalam setiap perbuatan yang kita lakukan, kita akan disegani dan insya-ALLAH tiada yang berani untuk menawarkan rasuah,” katanya.