Identiti mangsa maut kereta terjunam dikenal pasti

Iklan
Anggota bomba dan penyelamat kelihatan mengusung dua mangsa yang maut selepas kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki terhumban ke dalam Tasik Biru Kundang dalam kejadian kira-kira 6.10 petang Ahad. 
- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti identiti dua individu yang terlibat dalam kemalangan maut, selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru di Jalan Kampung Setia, Batu Arang di sini petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faizal Abu Hassan, 43, merupakan seorang pesara polis dan Chong Kha Mun, 35, yang mana siasatan polis mendapati kedua-dua mereka berjiran, berdasarkan kepada alamat terakhir yang diperolehi pihaknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 6.10 petang itu, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Vios, sebelum kenderaan itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan, sebelum terjunam ke dalam Tasik Biru Kundang.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar dari tasik kira-kira 8.02 malam oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Terdapat kerosakan di bahagian depan kereta dan cermin, serta siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saksi bebas sedang dikenal pasti bagi membantu siasatan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.10 petang yang memaklumkan insiden itu, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang bergegas ke lokasi kejadian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut, kereta terjunam dalam tasik