'Saya tiada hasrat terajui semula PAFA'

Iklan
Zainol Fadzi

EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan beliau tidak berhasrat untuk kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang menghubungi dan memujuk supaya kembali menerajui PAFA, beliau kekal dengan keputusan untuk tidak lagi bersama persatuan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi tumpuan terhadap tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri yang sedang digalas ketika ini.

"Saya tidak pernah terlintas langsung untuk kembali menerajui PAFA kerana masa saya sudah berlalu. Cukuplah pencapaian pemain Perak yang ada ketika ini. Mereka berjaya digilap dengan kecemerlangan pembangunan yang dibuat sebelum ini sehingga PAFA berjaya menuai hasil pada tahun 2018.

Iklan

"Berilah kepercayaan kepada muka baharu yang lebih berminat dan bercita-cita tinggi untuk menerajui PAFA. Bukan mahu menyombong cuma, saya rasa cukuplah tempoh lima tahun saya pegang jawatan itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Zainol Fadzi berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang menamakan beliau sebagai salah seorang yang layak menerajui PAFA selepas peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini.

Iklan

Menurut Zainol Fadzi, menjadi seorang Presiden PAFA memerlukan masa dan tumpuan khusus lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana penularan Covid-19 dan ekonomi semasa termasuk senario politik yang tidak menentu.

"Terima kasih kepada yang hubungi, memujuk dan menyokong saya untuk kembali ke PAFA. Saya amat hargainya," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Zainol Fadzi menerajui PAFA antara tahun 2010 hingga 2015, malah pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2012 sebelum kembali semula sebagai Bendahari PAFA pada tahun 2018.

Selain beliau, turut disebut-sebut sesuai untuk menerajui badan induk bola sepak Perak itu Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya

Begitu juga Exco Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed yang turut dinamakan sebagai calon yang sesuai untuk mengemudi barisan kepimpinan PAFA dan Perak FC.