MAIK sudah bantu keluarga tukang urut buta

Iklan
Mahamad Azmi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan daripada MAIK di rumah Wan Mohamed.

KOTA BHARU - Kisah hidup seorang tukang urut buta di Kadok yang dibantu isteri untuk keluar mencari rezeki mendapat perhatian Majis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Akhbar Sinar Harian pada Ahad melaporkan perjalanan hidup diharungi ibu lima anak, Fatimah Salleh, 58, yang setia sebagai penunjuk arah kepada suaminya, Wan Mohamed Jaafar, 78, yang buta kedua-dua belah mata sejak 1998 kerana terkena habuk simen ketika bekerja sebagai tukang rumah.

Iklan
Iklan

Pegawai Agihan Zakat MAIK, Mahamad Azmi Zakaria berkata, pasangan terbabit sudah menerima zakat sejak tahun 2006 dengan jumlah semasa RM400 sebulan.

"Kali ini MAIK turun padang untuk menyempurnakan hasrat Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini.

Iklan

"Dimaklumkan juga anak-anaknya turut memberikan wang ketika berkunjung ke rumah ibu bapa mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Turut hadir, Imam Tua Mukim Kadok, Abdullah Zohdi Ismail dan Imam Tua Masjid Telipot, Osman Mat Zin.

Iklan

Pasangan tersebut mencari rezeki sebagai tukang urut dengan pendapatan antara RM5 sehingga RM30 setiap kali mengurut pelanggan.

Selain bantuan MAIK, pasangan tersebut turut mendapat elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM250 dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh.

Sementara itu, Wan Mohamed turut mengucapkan terima kasih kepada MAIK, JKM dan pihak yang membantu keluarga berkenaan.