SHAH ALAM - Malaysia akan menjadi negara ‘sakit’ di Asia selepas Filipina kerana ketidakupayaan pemimpin Pakatan Nasional (PN) dalam menguruskan krisis Covid-19.
Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mendakwa, pemerintah PN tidak mampu menguruskan gelombang ketiga kes Covid-19 walaupun telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua pada awal tahun ini.
"Dengan kepimpinan ekonomi dan politik seperti ini di bawah pemerintahan PN, tidak hairanlah jika Malaysia dilabelkan sebagai 'orang sakit' baru di Asia.
"Pada tahun 1970-an dan 1980-an, Filipina dikenali sebagai 'orang sakit' Asia kerana rekod ekonomi yang lemah dan keengganan syarikat asing untuk melabur di negara ini di bawah pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.
"Malaysia kini menuju ke arah ini kerana kegagalan Perikatan Nasional menguruskan pandemik Covid-19 selain hanya berusaha untuk memastikan gabungan kerajaan kekal utuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, Kian Ming berkata, penurunan pelaburan asing Malaysia terbukti dengan angka daripada kajian Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) baru-baru ini, yang menunjukkan pelaburan langsung asing (FDI) negara merosot kepada 68 peratus pada 2020.
Katanya, berbeza dengan negara jiran yang mencatatkan penurunan lebih rendah iaitu Singapura (-37 peratus), Indonesia (-24 peratus), Thailand (-50 peratus) manakala Filipina meningkat kepada 29 peratus pada 2020.
"Angka ini merupakan aliran masuk FDI yang sebenar ke negara masing-masing tidak seperti angka FDI yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz awal tahun ini yang hanya memberitahu pelaburan diluluskan dan bukan pelaburan direalisasikan.
"Pada masa sama, laporan mengenai beberapa syarikat multi nasional yang memindahkan ibu pejabat mereka keluar dari Malaysia ke negara lain seperti Indonesia telah memberikan gambaran bahawa Malaysia tidak lagi menjadi tempat menarik buat pelabur asing.
"Laporan ini berperanan dalam membangun naratif yang lebih besar bahawa Malaysia ketinggalan dari negara jiran kita dalam banyak bidang, tidak dapat menguruskan krisis Covid-19, dibelenggu oleh ketidakstabilan politik, mempunyai kabinet yang tidak kompeten dan menjatuhkan kebijakan pemerintah dengan cara yang merosakkan persekitaran perniagaan,” katanya.
Tambahnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih tidak mengeluarkan kenyataan bagi mengatasi masalah dan melawan laporan negatif tersebut.
Kian Ming yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP turut menyalahkan Azmin atas kehilangan keyakinan pelabur tersebut.
"Sama seperti beliau tidak cekap dalam menguruskan portfolio ketika menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam kerajaan Pakatan Harapan, beliau telah buktikan dirinya (jika tidak lebih) tidak layak memegang jawatan Menteri MITI," katanya.