KLUANG - Seorang pesara tentera kini hanya mampu terlantar sejak diserang angin ahmar pada November 2019 di Taman Pelangi di sini.
Sebelum diserang penyakit angin ahmar, Abdul Razak Atan, 54, terlebih dahulu terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan retak tulang punggung serta patah kaki kiri baru-baru ini.
Isterinya, Tahrifah Aswoto, 46, berkata, Abdul Razak sekarang tidak lagi mampu berkomunikasi walaupun boleh mendengar serta memahami setiap percakapan mereka yang menziarahinya.
"Suami saya berkhidmat dalam Kor Perkhidmatan DiRaja (KPD) sebelum bersara pada 2005 dengan pangkat terakhirnya sebagai Lans Koperal.
"Dengan pangkat terakhir itu, dia hanya menerima pencen sebanyak RM1,089. Namun, sebahagian daripadanya terpaksa digunakan untuk membayar hutang rumah yang diduduki sekarang," katanya.
Terdahulu, pasangan berkenaan menerima kunjungan Pengurus Eksekutif Yayasan Perbandaran Kluang (YPK), Zainani Jamaludin sempena program Ziarah Kasih YPK di rumahnya pada Isnin.
Tahrifah berkata, walaupun suaminya menerima pencen ilat hasil carumannya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ketika bekerja dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selepas bersara, namun semuanya digunakan untuk menampung kos perubatan bulanan.
"Kini semua keperluan keluarga hanya bergantung dengan pendapatan saya sebagai guru di sebuah sekolah rendah berhampiran rumah.
"Ini termasuk bayaran bil utiliti dan kos persekolahan seorang anak kami. Malah, ada kalanya saya terpaksa menambah menggunakan duit gaji untuk menampung kos perubatan sekiranya ada keperluan tambahan untuk mengubatinya," katanya.
Sementara itu, Zainani berkata, pihaknya memandang berat keperluan keluarga itu khususnya berkaitan kos perubatan untuk Abdul Razak.
"Semua kesulitan keluarga ini akan dibawa untuk perbincangan di peringkat tertinggi YPK bagi membolehkan satu langkah untuk mengurang beban perbelanjaan harian keluarga dapat dilakukan," katanya.