KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma bagi membantu gelandangan di sekitar bandar ini bermula pada Ahad.
Antara 250 hingga 300 gelandangan yang terkesan berikutan pandemik Covid-19 menerima manfaat melalui sumbangan makanan percuma yang akan diagihkan bermula 6.30 petang pada setiap hari.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya memperuntukkan RM20,000 bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, agihan membabitkan dua lokasi iaitu Jalan Datuk Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar Kuantan yang menempatkan ramai gelandangan pelbagai kaum.
"Hidangan makanan ini disediakan sepenuhnya oleh Dapur Infaq Ummah diketuai penggeraknya, Badrul Jamili Kamaruddin.
"Kita menjalinkan kerjasama kerana mereka berpengalaman luas dalam aktiviti penyediaan masakan untuk gelandangan dan golongan asnaf sebelum ini," katanya.
Dr Asmadi berkata, sumbangan makanan percuma kepada gelandangan dan golongan asnaf di daerah ini bukan kali pertama malah projek prihatin berkenaan pernah dilaksanakan Muip Cawangan Kuantan sebelum ini.
"Berikutan wabak Covid-19 yang berlarutan, Muip sekali lagi mengadakan program bantuan makanan percuma ini kepada golongan tersebut selain mak nyah dan mereka yang hilang sumber pendapatan," katanya.
Tambah beliau, projek berkenaan antara kaedah dakwah yang berkesan ketika negara berhadapan wabak Covid-19.
"Saya berharap program makanan percuma untuk gelandangan anjuran Muip ini dapat menarik minat pihak untuk tampil memberi sumbangan selain menaja hidangan yang akan disediakan," katanya.
Sementara itu, Badrul Jamili berkata, pihaknya menyediakan bungkusan nasi dengan lauk yang berbeza setiap hari bersama air mineral.
"Ramai gelandangan berpuas hati diberi makanan percuma ini," katanya.