TUMPAT - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu dan menempatkan pegawai bertauliah untuk membimbing kelompok suku Bajau Laut yang baru memeluk Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, setiap kali ada kumpulan yang memeluk Islam petugas dakwah digerakkan untuk membimbing mereka mendalaminya.
"Sebagai contoh masyarakat orang asli. Kita ada penggerak masyarakat orang asli (PMOA) dan jabatan akan menugaskan ustaz bertauliah untuk bersama mereka.
"Begitu juga untuk golongan Bajau Laut di Sabah. Saya difahamkan mereka juga memerlukan bimbingan daripada pihak yang bertauliah," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyampaikan Convection Oven sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia berjumlah RM 62,695.25 kepada Pengarah Hospital Tumpat, Dr Aminah Rusmin Ghazali.
Ahmad Marzuk berkata, kerajaan menggalakkan usaha yang dilakukan oleh pendakwah bebas Ebit Lew yang mengislamkan suku Bajau Laut.
"Kerajaan akan membantu membimbing mereka supaya memahami Islam secara lebih mendalam," katanya.
Semalam, tular di media sosial apabila Ebit menangis gembira kerana beliau berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.
Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.
Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan akibat terputus bekalan makanan.
Jelasnya, ketika beliau memberi bantuan kepada 157 suku Bajau Laut atau Gipsi Laut itu, ramai yang datang dan bertanya kepadanya apa itu Tuhan dan siapa Tuhan.