Rampasan kuasa tentera, Myanmar diisytihar darurat

Iklan
Televisyen tentera Myanmar mengumumkan darurat selama setahun di negara itu selepas pemimpin kerajaan ditahan. - Foto AFP

YANGON- Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan pegawai kanan lain ditahan pihak tentera pada pagi Isnin, kata jurucakap parti memerintah Liga Nasional Demokrasi (NLD) Dr. Myo Nyunt, kepada Agensi Berita Xinhu.

"Saya menerima laporan dalaman mengenai penasihat dan presiden negara kita yang ditahan pihak tentera. Setakat yang dilaporkan, Menteri Perancangan dan Kewangan Shan State U Soe Nyunt Lwin, ketua NLD Kayah Thaung Htay dan beberapa wakil parlimen NLD wilayah Ayeyarwady turut ditahan," kata jurucakap itu.

Iklan
Iklan

"Dua anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu turut dibawa dan saya juga sedang menunggu untuk ditahan kerana dimaklumkan anggota kami giliran saya akan tiba,” katanya.

Pada Isnin, televisyen tentera Myanmar mengumumkan darurat selama setahun di negara itu selepas pemimpin kerajaan ditahan.

Iklan

Radio dan Televisyen (MRTV) milik kerajaan mengumumkan di laman media sosialnya ia tidak lagi beroperasi pada pagi Isnin, manakala telekomunikasi di ibu kota Nay Pyi Taw dan beberapa wilayah serta negeri lain turut terjejas.

Sidang pertama parlimen baharu dijangka dimulakan dengan perhimpunan Dewan Perwakilan pada Isnin diikuti Dewan Nasional pada Selasa dan sesi Parlimen Kesatuan pada 5 Februari.

Iklan

Sesi parlimen berikutnya akan memilih speaker untuk kedua-dua dewan parlimen dan akan membentuk jawatankuasa parlimen serta memilih presiden dan naib presiden, sebagai sebahagian daripada pembentukan Kerajaan Kesatuan.

Myanmar mengadakan pilihan raya umum pada 8 November tahun lalu dan NLD memenangi majoriti kerusi di kedua-dua dewan Parlimen.

Sementara itu, menurut kenyataan Pejabat Presiden, darurat setahun diisytiharkan di Myanmar setelah tentera menahan beberapa pemimpin parti pemerintah.

Pengisytiharan ditandatangani oleh Naib Presiden Pertama U Myint Swe, yang memangku jawatan presiden.

Pentadbiran negara akan diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera Min Aung Hlaing, kata kenyataan itu. - BERNAMA