SHAH ALAM - Raja-Raja Melayu dicadangkan mewajibkan semua kuliah agama di seluruh negeri menyentuh mengenai isu rasuah dan integriti.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, cadangan tersebut mampu memperluaskan lagi pendedahan mengenai isu berkenaan.
Katanya, kuliah tersebut boleh dilakukan sama ada di dalam khutbah Jumaat atau kuliah agama di masjid.
"Isu rasuah ini secara langsung dapat menyentuh aspek pendidikan dan kesedaran untuk semua pihak menyokong cadangan penambahbaikan undang-undang dan penguatkuasaannya untuk membasmi amalan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.
Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, usaha bersepadu melibatkan semua pemimpin agama perlu diwujudkan supaya pendidikan agama yang mencegah kemungkaran dan dosa rasuah dapat dipupuk sejak kecil lagi.
Menurutnya, ia perlu membabitkan semua peringkat bermula daripada kanak-kanak dan diterapkan tanggungjawab dan amanah sehingga ke peringkat sekolah rendah, menengah dan golongan dewasa.
"Secara tidak langsung, ia usaha berterusan untuk membentuk nilai bangsa Malaysia sebagai bangsa yang menolak rasuah,” katanya.