KUALA LUMPUR - Pemergian Abdul Bari Asyraf Muhammad, 31, yang maut akibat lemas sewaktu membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu termasuk dalam kategori syahid.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, cubaan Almarhum menyelamatkan mangsa terlibat adalah satu tindakan mulia.
"Dengan izinNya termasuk dalam kategori syahid, Insya-ALLAH. Almarhum ialah anak muda yang wajar dijadikan contoh dengan akhlaknya terpuji.
"Di sebalik musibah ini, ALLAH menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang mencontohi Almarhum," katanya di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli turut mencadangkan keluarga Allahyarham Abdul Bari dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam insiden itu diberikan anugerah setimpal dengan keberanian dan akhlak mereka yang disanjung tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Hajat selamatkan mangsa kemalangan, tapi...
Mayat Abdul Bari ditemui 2.5km dari lokasi hilang
Ketika kejadian itu, Abdul Bari dari Kampung Panji, Kuala Terengganu dikatakan sedang memancing bersama rakannya .
Almarhum kemudiannya bertindak untuk terjun ke sungai terbabit bagi menyelamatkan mangsa terlibat.
Namun begitu, dia dikatakan lemas setelah gagal naik ke darat sebaik menyelamatkan empat mangsa di dalam kenderaan terbabit.
Selepas hampir dua hari melakukan pencarian, pasukan penyelamat berjaya menemui mayat Abdul Bari pada jarak 2.5km dari lokasi dia hilang sebelum ini.