Solidariti tingkatkan sistem nilai tadbir urus

Iklan
HUSSAMUDDIN YAACUB. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa merupakan inisiatif Sinar Harian untuk mengajak rakyat dari pelbagai latar belakang bergabung dalam sebuah harapan baharu untuk negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kempen tersebut mampu membentuk sinergi rakyat untuk bersolidariti demi mempertingkatkan sistem nilai dalam tadbir urus.

Iklan
Iklan

Katanya, kempen itu merupakan sebuah gerakan reformasi untuk memulihkan semula nilai, moral dan karakter bangsa Malaysia.

"Hampir berpuluh-puluh tahun negara mengalami pergolakan politik dan kini masih berdepan dengan pandemik Covid-19 sehingga rakyat tertekan serta putus asa.

Iklan

"Jadi kita (Sinar Harian) mulakan kempen ini untuk memberikan harapan dan sinar baharu kepada mereka. Ia juga kesinambungan daripada kempen #janganputusasa yang diperkenalkan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, keruntuhan moral berlaku disebabkan sistem nilai dalam masyarakat semakin terhapus.

Iklan

"Masyarakat kini sudah tidak berpegang kepada nilai, jadi kita mahu pulihkan semula nilai, moral dan karakter bangsa Malaysia.

"Sepatutnya orang yang beragama mesti berpegang pada nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, bekerjasama dan adil sebagaimana diajar oleh agama masing-masing.

"Namun disebabkan rasuah dan salah guna kuasa yang semakin berleluasa, nilai seperti ini sudah tiada," katanya.

Menurutnya, gejala rasuah yang kian kritikal menyebabkan kualiti hidup rakyat terjejas dan jatuh miskin.

"Selama ini kita biarkan sahaja amalan rasuah berlaku dan hanya menuding jari serta menyalahkan orang politik sedangkan kita sendiri yang mulakan perbuatan jijik ini.

"Kita minta mereka macam-macam tak kira di peringkat kampung, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen. Jadi mereka terpaksa cari duit dengan merasuah.

"Dalam hal ini, kita yang membenihkan dan membuatkan rasuah ini semakin menular. Justeru, kempen ini diharap mampu memberi kesedaran kepada rakyat untuk bangkit semula menolak budaya rasuah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat perlu bertindak segera supaya gejala rasuah tidak merebak dengan lebih serius.

"Kita perlu memutuskan 'rantaian' penyakit moral ini agar generasi akan datang tidak berdepan dengan kesengsaraan disebabkan nilai moral sudah tiada.

"Walaupun kempen ini memakan masa, namun saya percaya sekiranya kita bersama-sama berganding bahu dan memulakannya dari sekarang, nilai moral bangsa dapat dipulihkan semula, sekali gus budaya rasuah dapat dihapuskan," katanya.