SKUAD badminton negara perlu segera melupakan kekecewaan ketika mengharungi pada dua kejohanan Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF 2020 di Bangkok baru-baru ini.
Sebaliknya, mereka dituntut memperbaiki setiap kelemahan yang ada sebelum temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Rashid Sidek berkata, barisan pemain negara masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu permainan masing-masing.
"Mungkin ada hikmah kita gagal capai prestasi cemerlang pada tiga kejohanan di Thailand. Harap pemain-pemain cepat bangkit kerana masih ada kira-kira enam bulan sebelum Olimpik.
"Maka itu pentingnya peranan jurulatih dalam merangka latihan bersesuaian dengan para pemain negara selain membuat penelitian terhadap lawan yang bakal bertanding pada Olimpik nanti.
"Pemain juga perlu perbaiki kelemahan sendiri. Ketahui di mana kelemahan dan kekuatan lawan itu. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada latihan dan kejohanan semata-mata. Corak permainan lawan itu penting untuk kita ketahui.
"Sukan badminton ini tidak ramai lawan. Pemain akan berjumpa lawan yang sama sahaja. Katakan pemain dari Jepun kita sudah boleh tahu siapa, sama juga dengan China, jadi kenali lawan kita itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam dua kejohanan Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF 2020 yang berakhir pada 31 Januari lalu, skuad negara gagal meraih sebarang kejuaraan.
Malah, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia gagal menyinar apabila dia tumbang pada aksi suku akhir Terbuka Thailand Yonex selain tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Thailand Toyota.
Pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2020, Zii Jia yang dicanang-canang sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tewas dalam kesemua tiga perlawanan.
Mengulas lanjut, Rashid berkata, Zii Jia dan barisan pemain negara yang lain mendapat pengajaran berguna sepanjang tiga minggu mereka 'berkampung; di Bangkok.
Pada masa sama, Rashid tetap percaya skuad badminton negara masih mampu mencipta kejutan pada temasya Olimpik di Tokyo nanti.
"Memang buat masa ini, tiada pemain yang telah disahkan bakal beraksi pada Olimpik Tokyo. Tetapi jika mereka sudah melayakkan diri ke Olimpik, saya percaya mereka mampu tampil cemerlang.
"Apa yang penting sekarang, mereka harus fokus dengan latihan. Semuanya bergantung kepada keinginan pemain itu sendiri dan keberkesanan latihan,” ujarnya.