KUALA TERENGGANU - Islam mengharamkan amalan rasuah malah Rasulullah SAW pernah menyatakan pemberi dan penerima rasuah tempatnya adalah di dalam neraka.
Bekas Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, sabda Rasulullah SAW itu jelas menunjukkan amaran keras berkaitan amalan rasuah sehingga diharamkan mengambil hatta satu sen pun daripada sesuatu yang bukan menjadi hak.
"Apabila iman lemah, kita akan mudah dan cenderung melakukan perkara yang diharamkan malah tiada rasa takut dengan azab ALLAH SWT.
"Walhal kita sudah tahu bahawa setiap sesuatu yang ingin diberikan kepada keluarga perlulah bersih, bukan sahaja daripada aspek kesihatan bahkan termasuk dari sudut hasil yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang terjebak dalam amalan rasuah akan menanggung bebanan dahsyat walaupun manfaat yang diterima hasil perbuatan itu hanya sedikit.
"Sumber rezeki daripada hasil yang haram akan menjadi darah daging kita seterusnya akan menggelapkan hati dan susah untuk berbuat ibadah. Begitu juga dengan keluarga yang diberi makan daripada sumber rasuah.
"Sebab itulah apa yang ditekankan dalam setiap rezeki yang diperoleh ialah keberkatan. Rezeki yang tidak berkat tidak membawa kebaikan bahkan akan membebankan kita di dunia dan akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, Aizi Saidi turut menyeru kepada seluruh umat Islam supaya menjauhi amalan rasuah dan mereka yang pernah melakukan dosa itu perlu segera bertaubat.
"Sepatutnya sebagai orang Islam kita menolak perkara sedemikian untuk menjaga kehidupan terutama bagi kehidupan kekal selepas mati.
"Hidup di atas dunia ini tidak lama, tidak kiralah apa jua jawatan yang kita sandang jika pernah terjebak, segeralah bertaubat nasuha. Apa yang lepas itu minta ALLAH SWT ampunkan dan perlu menyesal atas perbuatan.
"Pintu taubat ALLAH SWT sentiasa terbuka, bertaubatlah, jangan diulang dan teruslah lakukan penambahbaikan dalam kehidupan kita,” katanya.